19 JANUARI - 29 APRIL 1998

SERATUS HARI PERTAMA DI MAKTAB PERGURUAN KUALA TERENGGANU.

SATU INTROSPEKSI

 Oleh:

Razali Ismail 


PROLOG

Seratus hari pertama di Maktab Perguruan Kuala Terengganu, Batu Rakit (MPKTBR) direnung untuk memetik makna dan iktibar daripadanya guna memperbaiki diri bagi menempuh hari-hari yang mendatang.

Issyyy! MPKTBR lebih besar dan menggusarkan…

Surat pertukaran ke MPKTBR sebagai pengetua telah saya terima pada 19 Januari 1998, bersamaan 20 Ramadhan 1418 (kira-kira jam 9.30 pagi). Berita ini menggusarkan, keasyikan saya ketika menyampaikan kuliah "attitude reengineering" kepada kumpulan KDPK di Maktab Perguruan Pasir Panjang (M3P), Kuala Terengganu ketika itu menjadi kacau seketika. Kenapa menggusarkan? Issyyy! MPKTBR lebih besar, lebih luas (60 ekar keluasannya, ketimbang 8 ekar M3P) daripada M3P yang kecil molek. Lebih ramai pelajarnya (pernah mengendalikan 2,300 orang pelajar), lebih ramai pensyarah dan staf sokongan (140 orang tenaga akademik, 70 orang staf sokongan), lebih besar pengurusan kewangan (tahun 1997 perbelanjaan mengurus kira-kira 13 juta), lebih banyak karenah, lebih daya tahan yang diperlukan. Ah, besar kecil institusi itu relatif kerana kerenah itu berada di mana-mana. Cuma tekad, azam, amanah, keadilan dan keihsanan yang menjadi neracanya. Perbetulkan kedudukan neraca ini. Pertukaran ini juga menggusarkan saya kerana dalam desas desus M3P akan ditutup dan berpindah ke Bukit Keluang. Dalam keadaan ketidaktentuan begini Sang Nahkoda M3P diselamatkan sedangkan awak-awaknya ditinggalkan terkapai-kapai. Gerak hati sebegini sesekali mendobrak jiwa saya ketika memandu PCU 9788 menuju ke maktab yang baru kira-kira 23 kilometer untuk melaporkan diri pada pagi itu.


Sebenarnya MPKTBR bukannya maktab yang baru bagi saya, lapan tahun yang lalu saya bertugas di sini sebagai Ketua Jabatan Pendidikan. Ramai rakan seperjuangan saya masih bertugas di sini.

Kira-kira 10.30 pagi saya sampai di maktab yang baru, dan terus ke Balai Islam Al-Muttaqin. Ketika menadah tangan berdoa dan mendongak ke perabung Balai Islam terpandang lelangitnya dipenuhi sawan kehitaman berjuntaian di mana-mana. Barangkali sudah lama benar Balai Islam ini tidak dicakna kebersihannya. Di satu penjuru kelihatan seorang pemuda yang sedang tidur nyenyak, mungkin pekerja maktab atau pelajar. Barangkali keletihan berpuasa. Dari Balai Islam saya menuju ke kolej kediaman. Bangunannya kelihatan lusuh, catnya sudah luntur. Katanya sejak dibina 18 tahun yang lalu tidak menohor diberi cat baru. Di kaki limanya berselerak dengan kerapah besi buruk, saki-baki daripada kerja pendawaian yang masih belum selesai. Di kawasan taman, rumput-rampai kegersangan kerana kemarau panjang. Sambil berjalan dan mendongak di sekitarnya saya memikirkan betapa kehidupan penghuninya. Khabarnya tilam sudah banyak yang reput, kira-kira 100 bilik tidak didiami. Kenapa pula pelajar tidak ghairah tinggal di kolej? Di mana silapnya?


Pada 19 Januari 1998, kira-kira 11.30 pagi saya mulai membuka pintu dan melangkah masuk ke bilik kerja pengetua. Satu lagi tempat persinggahan dalam perjalanan hidup saya sebelum berlabuh di pelabuhan kerjaya ini. Dengan mengambil kira pelbagai kemungkinan sebagai pemimpin, saya pasrah dengan penuh tawadhu’, dan dengan langkah kanan saya memasuki bilik kerja saya sambil melafazkan niat mulia, "Bismillahi tawakkaltu a’llallah, wala haula wala quata illa billahil aliyyil azim".

Timbalan Pengetua (TP), Penolong Pegawai Tadbir (PPT) dan beberapa orang Ketua Jabatan (KJ) serta pensyarah mengunjungi saya sambil mengucapkan selamat datang. Di hati kecil saya, kalian adalah tunggak dan harapan saya untuk bermuafakat dan merealisasikan perjuangan "Maktab Gemilang, Pelatih Cemerlang". Pada hari yang pertama, arahan saya yang pertama kepada PPT ialah membersihkan sawan dan sarang lelabah di lelangit Balai Islam. Kepada TP diarahkan supaya semua pelajar berkumpul di Balai Islam pada waktu terakhir untuk meraikan Nuzul Al-Quran dengan majlis tazkiyah oleh Pengetua.


Tazkiyatun-Nafs Serta Mengimarahkan Balai Islam.

Saya yakin bahawa persoalan pokok dalam pendidikan ialah pembangunan dan penyuburan diri. Dalam perkataan lain, pendidikan itu ialah membina adab - memperkasakan akal budi (sa’pare-aude). Maka tazkiyatun-nafs adalah makanisme utama bagi menyerlah pembangunan insan, melibatkan proses penyucian dinamik yang perlu dilakukan oleh setiap insan untuk dirinya berada secara istiqamah dalam keredhaan ALlah s.w.t (Sardar, 1988). Menurut Imam Al-Ghazali, tazkiyah mengandungi tujuh unsur yang utama:

  1. Taharah, yakni menyucikan tubuh, menyucikan diri daripada salah dan dosa, menyucikan hati daripada akhlak keji dan terkutuk, dan menyucikan kebatinan daripada fokus selain daripada Allah s.w.t..
  1. Ibadah, yakni menghambakan diri kepada Allah s.w.t
  1. Zikir. Mengingati Allah s.w.t sepanjang masa.
  1. Doa. Memohon kepada Allah s.w.t.
  1. Taubah. Mendapat keampunan Allah a.w.t.
  1. Sabar. Memupuk semangat kesabaran.
  1. Muhasabah. Menghitung dan mengkritik diri.

 


Saya mengambil kesempatan berdiri di hadapan khalayak MPKTBR kira-kira satu jam buat pertama kalinya pada hari kedua saya bertugas. Agendanya ialah berbicara mengenai hikmah Nuzul Quran dan Budaya Iqra’. Balai Islam tengah hari itu penuh sesak dengan warga maktab sehingga melimpah keluar. Balai Islam Al-Muttaqin tidak dapat menampung jemaah seramai 800 orang.

Dalam tazkiyah yang sulung ini saya melontarkan konsep Budaya Iqra’. Kelesuan budaya iqra’ di tengah-tengah masyarakat Islam akan mendatangkan musibah yang cukup jelek. Umat Islam terkepung oleh masyarakat dunia yang melonjak maju dari segi materil. Era IT (teknologi maklumat) ciptaan mereka adalah hasil daripada proses menekuni bidang sains dan teknologi sejak zaman berzaman, dan IT merupakan jenama semasa dan medan bicara hari ini. Era IT dan globalisasi yang diterajui negara Barat boleh menggugat keutuhan negara-negara yang daif dari segi budaya ilmunya. Globalisasi membawa konotasi penghomogenan, yakni pewujudan satu budaya umum yang dominan diterajui nilai budaya barat yang sekular. Lantaran itu dunia dikatakan sedang kehilangan sempadan geografi, masa dan jarak dijumudkan. "The Death of Distance" kata Frances Caincross akan mengorbankan kemanusiaan. Masyarakat penyayang akan sirna.Umat manusia dikatakan akan menjadi suatu kabilah sejagat yang budayanya diwarnai/didasari nilai-nilai duniawi-materil. Akan terhakis dan pupus jatidiri negara bangsa. Turut tergasir ialah nilai-nilai hakiki masyarakat beragama oleh resapan budaya dominan yang sekular dan hedonistik. Inilah fenomena yang disebut sebagai gelombang kemusnahan kreatif (creative distruction) yang dikaitkan dengan impak era globalisasi dan deregulasi.

Loh!, umat Islam tergasir keIslamannya? Lalu bagaimana kita? Apakah strategi kita dalam menghadapi globalisasi dengan era IT yang canggih, rencam, mengancam dan mencengkam ini? Apakah reaksi kita sebagai pendidik dan pendakwah? Apakah pelan bertindak kita untuk mengimarahkan budaya iqra’ (budaya ilmu) di institusi ini? Bertubi-tubi soalan ini menerjah alam fikir saya.


Demikian beberapa persoalan pokok yang meresahkan diri serta musibah yang bakal menimpa akibat kelesuan budaya iqra’. Hal ini saya lontarkan kepada sidang jemaah untuk direnung secara serius. Kajian budaya membaca oleh Atan Long (1984), menunjukkan secara purata, rakyat kita hanya membaca satu muka surat setahun berbanding 200 muka surat bagi rakyat Jepun dan Amerika. Kata saya, musuh kita sedang mengamati kita dengan tabiat hodoh ini. Sekumpulan Yahudi pernah mengecam Mohsye Dayan, hero Israel dalam perang Arab-Israel 1967 kerana membocorkan rancangan Zionis yang boleh menguntungkan orang Arab. Di atas kecaman ini, Mohsye Dayan menjawab, "usah bimbang, orang Arab tidak akan membacanya!". Lihatlah, betapa rendahnya kedudukan tabiat membaca di kalangan orang-orang Arab, sehingga musuhnya berani melabrak demikian rupa. Apakah kita juga tidak pelahap pada budaya ilmu ini. Hati-hatilah dengan amaran penulis futurist yang tersohor, John Nissbit dan Peter Drucker. Kata mereka, dalam era IT ini masyarakat yang meminggirkan budaya ilmu dengan pantas akan menjadi jumud, tewas dan pupus. Warga dunia hari ini rata-rata terdiri daripada "pekerja ilmu dan pekerja berilmu". Mereka yang meminggirkan trenda ini akan terpinggir daripada arus semasa. Nah, bagaimana kedudukan kita?

Marilah kita bermuhasabah. Kenapa ALlah swt. memilih kalimah "iqra’" dalam komunikasi pertama dengan manusia? Kenapa ALlah tidak memulakan dengan kalimah "ud’uni" - berdoalah, "tafakkaru" - berfikirlah, tetapi "iqra’" - bacalah! Maka jelaslah ada rashia besar di sebalik konsep tersebut.


Pelbagai musibah semasa yang sedang kita saksikan lewat kegawatan sosial, tergasirnya nilai-nilai murni, kemeruncingan ekonomi, kebejatan kepimpinan dan pelbagai problema serta dilema hidup masa kini dirumuskan oleh ahli-ahli fikir adalah berpunca daripada "confusion and error in knowledge" (Syed Muhammad Al-Naguib Al-Attas, "Islam and Secularism", ABIM, 1978; ms. 100). Kekacauan dan kesilapan kita terhadap hakikat ilmu menyebabkan kehilangan adab di dalam masyarakat. Kekacauan dan kehilangan adab mengakibatkan timbulnya pemimpin yang tidak layak memimpin kerana tidak mempunyai nilai akhlak yang tinggi, taraf keintelektualan dan keutuhan spiritual yang rendah untuk melayakkannya memimpin, lalu pemimpin yang tidak layak ini mewariskan kepada orang yang dipimpinnya dengan nilai adab yang rendah. Jaringan kekeliruan akan terus berputar ganas dan berpanjangan. Nilai adab yang rendah inilah yang meletakkan kita dalam keadaan kemelut yang berlarutan. Keadaan diri dengan nilai adab yang rendah akan mengakibatkan diri kehilangan pertimbangan keadilan, dan diri gagal meletakkan sesuatu pada kedudukannya. Lalu, apa yang wujud ialah keadaan yang tidak harmoni, kacau, berkrisis, kerosakan dan al-fasad seperti yang saya bicarakan di atas.

Begitu penting sekali ilmu dalam kelangsungan kehidupan manusia. Ilmu menjanjikan kesejahteraan (al-falah), tanpanya akan membawa kerosakan (al-fasad). Maka inilah yang menjadi teras dan mesej utama saya untuk saya kongsi bersama warga maktab di atas sifat kita sebagai pekerja ilmu.


Apa maknanya ilmu? Saya cukup menghormati takrif ilmu yang diberikan oleh Al-Naguib Al-Attas. Ilmu dikonsepkan sebagai "ketibaan makna kepada diri" ("the arrival in the soul of the meaning of a thing, or the arrival by the soul at the meaning of a thing" - ibid. ms. 154). Makna itu bererti kebenaran. Ketibaan makna atau kebenaran kepada diri menggasir segala kekotoran, membersihkan qalbu - tazkiyatun-nafs. Qalbu yang bersih memanifestasikan pola perlakuan yang beradab, yakni tingkahlaku yang adil dan ihsan. Kecenderungannya ialah untuk mencapai al-falah. Tanpa ilmu bererti tiada kebenaran dalam diri, qalbunya diselimuti gelap gelita, kotor dan keliru. Prestasi daripada qalbu yang berdaki dengan kekotoran dan kekeliruan ini dimanifestasikan dengan pola perlakuan yang biadab. Condong melakukan yang fasad. Tidak berupaya berlaku adil dan ihsan. Tidak berupaya meletakkan sesuatu pada hak dan kedudukannya. Justeru itu keadaan menjadi keliru, kucar kacir dan meruncing. Hal inilah yang membawa kepada pelbagai musibah dan kebejatan sosial. Nah, hentikan kecenderungan kepada kebejatan ini. Kembalilah menghayati budaya iqra’ - (4B) beriman, berilmu, beramal serta beristiqamah di jalan yang diredhai-Nya. Inilah laluan yang akan kita redah bersama di institusi ini.

Maka tugas kita sebagai pendidik adalah sebagai pengasuh ilmu. Mengerti dengan sejelasnya tentang hakikat ilmu. Berusaha dengan penuh azam dan iltizam untuk menitiskan makna atau kebenaran ke dalam diri anak didik. Kita merangsang, menyediakan persekitaran, menyuntik, menggerak, mentafsir, memudahkan, menggempur serta memperkukuhkan makna yang tiba dalam diri anak didik. Usaha-usaha ini merupakan proses untuk membawa ketibaan dan penitisan makna atau kebenaran ke dalam diri. Hasil atau produk daripada usaha ini ialah adab. Kualiti manusia ditentukan oleh prestasi adabnya Ini adalah fungsi utama kita sebagai muaadib iaitu menanam dan menyuburkan adab pada manusia. Seperti kata Naquib Al-Attas, "Education is the instilling and inculcation of adab in man - it is ta’dib" (ibid. ms. 144). Jelas bahawa fungsi pendidikan ialah untuk memanusiakan manusia serta memperkasakan akal budinya. Keperkasaan akal budinya beserta dengan hidayah ALLah s.w.t. menjanjikan hidup yang bahagia serta dapat pula ia memberi sumbangan untuk memakmurkan alam ini di atas paksi tauhid. Bermuamalah dengan seutuhnya dengan Pencipta, dengan sesama manusia dan alam jagat serta dengan dirinya sebagai individu.


Saya kaget sekali tentang pemahaman keluarga saya mengenai konsep-konsep yang dilontarkan pada hari itu. Mungkin ramai yang mentafsirkan tazkiyah yang diberikan oleh pengetua sebagai retorika, tidak pragmatik, terlalu berfalsafah atau seorang idealogue. Malah, bagi setengah yang kurang bersahabat dan berdamai dengan ilmu, mungkin tidak memahaminya! Ada pensyarah yang menegur saya selepas tazkiyah dengan mengatakan, "bukan tempatnya pidato pengetua diberikan di Balai Islam!". Padanya, Balai Islam bukan platform tazkiyah/pidato umum, tetapi tempat untuk menjelaskan perkara yang berkait dengan fardu ain, dosa pahala, ibadah khusus dan kerja-kerja ritual yang sepatutnya.

Tazkiyah pertama hari itu saya akhiri dengan mengajak seluruh warga maktab untuk mendirikan solat berjemaah diikuti dengan sesi tazkiyah setiap hari selepas solat zohor. Saya juga membuat peringatan dengan catatan bahawa model pendidikan anjuran Al-Quran dalam Surah Luqman (ayat 13 - 19) dijadikan landasan pendidikan perguruan di maktab ini.

Dalam keghairahan mengatur strategi pendidikan dan dakwah di maktab ini, terloncat pesan bestari daripada dua orang sahabat saya yang akan saya ingati sampai bila-bila. Ustaz Sulaiman berpesan, "…kiranya kita nekad berbuat benar, apatah lagi kerja seberat tazkiyatun-nafs, pasti ada cabaran…cabarannya berat, kot-kot tak terpikul. Pasti ada antah-antah yang akan tersepak ke tepi!…" Dengan wajahnya yang kelihatan pucat dan mengerutu menambahkan kegerunan saya. Ya, antah-antah yang akan tersepak ke tepi. Apakah saya akan menghadapi realiti ini? Ahmad Zahari, dengan nada yang tegas serta tersenyum manis berpesan,"…tuan, kita cuma berikhtiar menyemai benih, proses dan produk penjagaannya bukan kita. Kita berdoa kepada ALlah s.w.t moga-moga benih yang disemai segar dan tumbuh dalam diri anak didik kita. Kita berbuat, kemudian memohon rahmat dan hidayah-Nya". Saya kagumi dengan pesanan yang bernas ini.


Berpesan Dan Berbuat, Berbuat Seperti Berpesan!...

Muzakarah Mingguan di antara Ketua-Ketua Jabatan (KJ) dengan Pengetua telah menjadi fenomena mingguan pada setiap pagi Ahad, jam 8.00 hingga 9.45 pagi. Agendanya ialah isu semasa akademik dan pentadbiran. Muzakarah ini menjadi platform kepada semua KJ untuk menyampaikan hasrat jabatan kepada pengetahuan Pengetua. Muzakarah ini juga menjadi jambatan kepada saya untuk menyampaikan mesej kepada semua pensyarah dan staf sokongan.

Saya masih ingat sesi muzakarah yang pertama diadakan pada 7 Febuari 1998 bersamaan 8 Shawal 1418. Agenda penting yang saya bangkitkan untuk renungan dan tindakan Ketua Jabatan ialah hakikat bahawa MPKTBR ialah sebuah organisasi pendidikan guru. Ciri-ciri utama sebagai sebuah organisasi ialah:

Persoalannya, bagaimanakah kita sebagai pemimpin mengemblingkan sumber tenaga manusia ke arah mencapai matlamah organisasi.

Saya juga menegaskan kepada jemaah muzakarah tentang aspek agihan tugas. Saya menekankan bahawa Timbalan Pengetua (TP) adalah "partner" yang paling intim dengan Pengetua. Saya juga percaya bahawa, "many of the problems in organisations stem from relationship difficulties at the very top - between two partners…" (Dag Hammarskjold).Perihal inilah yang membawa kepada keberantakan, kekacauan, komplot, proksi dan "team" dalam organisasi. Kita pernah menyaksikan organisasi maktab menjadi kucar-kacir oleh keberantakan dan saling melabrak di antara Pengetua dengan TP. Dalam konteks ini keakraban hubungan, toleransi dan kesepakatan Pengetua dan TP adalah ramuan yang penting kepada kelangsungan prestasi maktab.


Kepada KJ saya menarik perhatian mereka kepada "core bussiness" maktab, iaitu agenda kecemerlangan maktab sebagai pusat rujukan pedagogi. Dalam hal ini, KJ adalah "the frontier thinkers". Aktiviti penyelidikan mesti diberi keutamaan, hanya dengan membuat penyelidikan kita akan menghasilkan khazanah yang mengandungi "intellectual originality". Inilah caranya untuk kita mengangkat martabat keilmuan. Saya bergantung harapan kepada pensyarah untuk memainkan peranan dalam "4P": pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan penerbitan. Seluruh warga maktab mesti menjadi pejuang kepada "a learning organization" dengan memanfaatkan "4P".

Sungguh aneh, selepas berhujah dengan penuh semangat dan harapan melangit dalam sesi muzakarah pada hari itu, di bilik saya menanti "warkah terbang" yang datang daripada seorang "Bekas Guru Pelatih". Warkah ini dengan jelas tanpa berselindung mengungkapkan perihal "keruntuhan akhlak" dikalangan guru pelatih dan pensyarah yang terlibat. Saya berdebar membaca warkah ini, di antara lain warkah ini menyatakan perangai "pensyarah yang seumpama harimau mencari mangsa", guru pelatih yang bangga menggayakan "love bite" di tengkuknya, dan tutur kata yang tidak sopan yang terhambur daripada mulut pendidik guru! Saya gelabah seketika. Barangkali di antara harapan saya dan realiti di maktab ini tidak "ngam". Harapan melangit menjadi tengit! Jangan putus asa bah! Yaaah, istiqamah…Kamu pemimpin dan kamu berpesan, kamu juga mesti berbuat apa yang kamu pesankan. Bukan semangat kamu yang penting, tetapi perbuatan kamu!

 


Fokus Kepada "Core Business".

Dalam renungan saya selama 100 hari di MPKTBR ini aspek pengisbatan tentang pendirian dan hala tuju Pengetua adalah amat penting. Khalayak mahu tahu ke arah mana maktab ini mahu dibawa? Apakah visi Pengetua? Bagi Pengetua untuk melontarkan visinya adalah gampang, tetapi memberi makna, menghayati dan melaksanakannya adalah sulit.

Masih jelas dalam ingatan saya sesi Pensyarah Bersama Pengetua yang diadakan pada 9 Febuari 1998 di Dewan Ungku Umar. Majlis ini ialah berupa sesi penjelasan visi Pengetua. Tema sesi ini ialah "Agenda Kita: Memperkasakan Akal Budi". Dalam kesempatan ini, saya mengajak pensyarah saya merenung tentang tahap penghayatan Falsafah Pendidikan Negara, Visi Pendidikan dan Visi Maktab ini. Apakah wujud jurang yang lebar di antara hasrat falsafah dengan apa yang kita buat atau yang dicapai selama ini? Bagaimanakah status visi "Maktab Gemilang, Pelatih Cemerlang"? Benarkah kita telah berjaya menjana pelatih cemerlang? Apa makna cemerlang? Setakat manakah tercapai hasrat menjadikan MPKTBR sebagai sebuah organisasi ilmu? Cabaran semasa dalam dunia pendidikan pun mesti diambil fikir, khasnya dalam konteks "open sky technology" dan Era IT cukup menggawatkan. Era ini ditandai ledakan maklumat, MSC - peng-IT-an pendidikan, kepantasan perubahan khususnya dalam isu pengkopratan dan penswastaan pendidikan, dunia pekerjaan yang turut berubah, kesan media massa serta cabaran untuk membina mujtama’ madani. Sejauh manakah kita sebagai warga akademik membuat persiapan menghadapi gejala mutakhir ini.


Untuk lebih pragmatik saya mengemukakan Dua Puluh Agenda untuk dilaksanakan oleh seluruh warga maktab. Agenda ini terbahagi kepada dua, iaitu Agenda Teras dan Agenda Tindakan.

Sepuluh Agenda Teras mencakupi aspek berikut:

 


Sepuluh Agenda Tindakan adalah seperti berikut:

 


Agenda-agenda di atas perlu pengisian dan komitment seluruh warga maktab. Setakat ini saya sedang menyaksikan beberapa petunjuk kejayaan yang dicapai. Saya menyaksikan keghairahan mengimarahkan budaya ilmu. Pensyarah-pensyarah Jabatan Teknologi Pendidikan telah berjaya mengadakan "homepage" maktab. Ramai pensyarah yang berminat melayari laman ini sambil memberi sumbangan penulisan. Ruangan Minda Pengetua yang disediakan dalam laman ini memberi ruang kepada saya untuk menulis dan berwacana di alam siber. Saya juga memasang niat untuk mengadakan intranet (LAN) di maktab ini. Unit Penyelidikan dan Pembangunan telah menggempur pelajar dan staf akademik untuk merealisasikan peranan 4P: Pengajaran, Pembelajaran, Penyelidikan dan Penerbitan. Hampir 30 buah penyelidikan sedang diusahakan. Pembentangan dijangkakan pada Oktober 1998. Program Penempatan Sementara Pensyarah Di Sekolah telah menghasilkan penemuan-penemuan baru dalam pedagogi. Dalam konteks penyelidikan ini, sumbangan pensyarah-pensyarah yang sedang mengikuti program Sarjana (M.Sc.) dengan Fakulti Pendidikan UPM kira-kira 40 orang itu amat memeriahkan. Saya rasa amat bertuah berada di kalangan pensyarah ini yang bakal menerima tauliah Sarjana masing-masing tidak berapa lama lagi. Mereka yang berkemahiran dalam penyelidikan telah memberi khidmat kepakaran rujukan kepada agensi luar. Unit INSET/CPD jua telah menyusun program in-house dan khidmat konsultansi dengan agensi luar. Setakat ini saya sendiri diundang untuk memberi ceramah dan menyampaikan kertas kerja dengan kadar yang cukup kerap. Maktab telah berjaya mewujudkan "professional partnership dan pathway" dengan sekolah, masyarakat sekitar dan jabatan kerajaan. Jabatan Bahasa sedang bersiap sedia dengan beberapa penerbitan ringan dan ilmiah. Jabatan Sains dan Matematik akan menerbitkan buletin JASA ke-2 yang memuatkan penulisan akademik daripada pensyarah jabatan. Jabatan Pendidikan Islam dengan amat tekun mengemblingkan pensyarah untuk menyampaikan tazkiyah di Balai Islam setiap hari selepas solat zohor. Jabatan Pendidikan yang menjadi urusetia praktikum telah membuat beberapa perubahan penting dalam pengurusan praktikum. Kajian tindakan untuk memantapkan prestasi praktikum juga sedang dibuat. Jabatan HEP sentiasa peka mengenai perjalanan aktiviti pelajar, pendisiplinan pelajar mengikut Akta 174 sedang diperjelaskan kepada khalayak.

Warga staf sokongan seramai 68 orang adalah sebahagian daripada keluarga maktab yang turut memberi sumbangan kepada kecemerlangan dan keceriaan maktab ini. Saya mulai berkenalan dengan semua staf sokongan dalam majlis tazkiyah yang diadakan di Balai Islam pada 24 Januari 1998. Masih jelas dalam ingatan saya, Jaafar Mamat menjadi pengerusi majlis. Jaafar adalah kenalan lama saya. Bekas anggota askar, warak, banyak menekuni buku-buku dakwah dan amat tekun menyempurnakan tugasnya sebagai penyelenggara stor. Dalam bicara muqadimahnya di majlis tersebut beliau berpesan agar saya sentiasa bersimpati kepada warga staf sokongan, tumpahkan kasih sayang dan jalinkan silaturahim dengan anggota yang kurang beruntung ini. Mulanya saya merasa aneh dengan pesanan bernas begini daripada seorang staf bawahan kepada ketuanya. Tetapi begitulah telusnya pengamatan orang yang akan dijemput kembali ke tempat awal kejadiannya. Begitulah kehendak Tuhan, beliau kembali ke rahmatullah enam hari selepas itu, iaitu malam 1 Shawal 1418. Mudah-mudahan Allah s.w.t mencucuri rahmat ke atas rohnya.


Pada pagi Shawal keluarga maktab berbondong-bondong menziarahi jenazah rakan seperjuangan. Saya melihat jasadnya yang kaku, yang tidak lagi berupaya untuk berfungsi seperti kelmarinnya. Mudah-mudahan jasad ini redha menerima qadar Allah s.w.t. Setiap yang hidup pasti merasai mati. Inilah perlabuhan yang hakiki. Menamatkan perjalanan kehidupan seseorang insan dalam pelayaran di alam yang fana ini. Yang akan dibawa dalam keberangkatan yang abadi oleh seorang anak Adam hanyalah amal, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat serta dimanfaatkan dan anak-anaknya yang soleh yang mendoakan kesejahteraannya. Semoga Allahyarham Jaafar Husain bersemadi bersama roh orang-orang yang bertaqwa dan diberkati Allah s.w.t, Al-Fatihah…

Krisis ekonomi yang sedang melanda negara sudah pasti akan memperlahankan pembangunan fizikal maktab. Potongan peruntukan lebih daripada 70% memerlukan saya berwaspada dan memanfaatkan "adversity quotient" yang dimiliki. Projek-projek maktab mesti ditangani dengan berjimat, berhemat dan bermunasabah. Saya beruntung benar kerana menerima sebuah maktab yang ceria daripada bekas pengetua yang lalu, Haji Mohammad Muda. Saya kira pembangunan fizikal sudah mantap, kerja-kerja pendawaian bangunan hampir selesai, balai ilmu, blok pentadbiran dan kuliah telah dicat, persekitaran Dataran Ilmu dihiasi dengan lampu yang terang benderang. Dewan pengakap di Kem Seri Gelam jua sudah siap dibina. Maka dalam kegawatan sekarang saya tidak menjanjikan pembangunan infrastruktur yang besar. Namun dimensi intelektual dan profesionalisme tidak akan terbantut, maka inilah yang akan menjadi agenda dan "core business" saya.


Setiap petang ketika memandu untuk balik ke rumah, saya sering merenung tentang apa yang dibuat seharian. Kepuasan dan kehampaan silih berganti menjadi ramuan untuk menempuh hari esok. Setiap pagi ketika sampai di bilik kerja, bacaan ayat-ayat suci Al-Quran sudah berkumandang diruang kampus. Untuk kira-kira 40 minit di awal pagi saya bersendirian dengan komputer peribadi melayari homepage maktab, menyemak E-Mail, mengakses maklumat terkini dalam laman-laman pendidikan atau menulis jurnal harian. Kira-kira 7.30 pagi saya sudah berdiri bersama pelajar dan pensyarah membuat senaman pagi di halaman perhimpunan. Setiap pagi selepas senaman saya berbicara ringkas dengan mengemukakan sesuatu "Pesan Bestari" yang saya petik daripada mutiara kata tokoh-tokoh tersohor dunia. Mudah-mudahan dengan pesanan yang berhikmah, sedikit demi sedikit tetapi konistan dan tuntas akan terpupuklah jiwa pendidik yang lunak kepada ilmu.

Agenda harian saya mulai sibuk selepas senaman pagi. Mempengerusikan mesyuarat, melayani rungutan dan pandangan pensyarah, staf sokongan dan pelajar adalah satu lumrah harian. Keluar masuk ke bilik kerja saya dipermudahkan dengan membuka terus pintunya. Barangkali ini menjadi lambang kedekatan, keterbukaan dan ketelusan. Menjadi kepuasan teramat sangat kalau ada jemputan memberi kuliah. Sesekali terasa jemu dan bungkam kiranya seharian di bilik kerja. Di celah kesibukan pentadbiran sesekali mengendap juga ke bilik kuliah. Sesungguhnya saya amat yakin apa yang berlaku di bilik kuliah mesti terkawal dan berprestasi tinggi. Sebahagian daripada worldview pelajar sebagai guru terbina melalui interaksi formal di bilik kuliah. Waktu kuliah adalah "quality time" atau "time on task" bagi pelajar. Amat menyiksakan bagi saya kiranya waktu ini terbuang sesia tanpa kehadiran pensyarah. Sesungguhnya pelajar mempunyai persepsi yang tajam tentang prestasi kita. Jangan meremehkan mereka.


‘Core business’ kita ialah dengan pelajar. Pelajar-pelajar adalah pelanggan dalaman yang utama kepada maktab, khasnya pensyarah. Saya melihat pelajar-pelajar ini adalah sumber tenaga manusia yang mesti digilap, ditransformasi serta direvolusikan akal budinya dari segi "PKS" (pengetahuan, kemahiran dan sikap) daripada satu fasa berfikir ke satu fasa berfikir yang lain. Seseorang pelajar itu hanya boleh digelar calon pendidik yang berwibawa apabila ia mengingati maktab ini sebagai institusi yang merevolusikan akal budinya. Dalam konteks ini, ada dua kemungkinan. Pertama, revolusi daripada alam dangkal, mentah dan cetek ke alam pengetahuan. Kedua, revolusi akal budi daripada kepompong paradigma tertentu ke alam paradigma baru. Seseorang pelajar itu mencapai tahap kewibawaan yang tinggi apabila ia melepasi tahap revolusi kedua. Saya kira seseorang pelajar tidak mencapai sebarang tahap kewibawaan jika ia hanya mengingati maktab ini hanya sebagai tempat mengumpul memori indah dan nostalgia manis. Manakala revolusi di tahap pertama dari alam dangkal, mentah dan cetek ke alam pengetahuan adalah sekadar suatu proses lazim yang tidak punya apa-apa keistimewaan. Jadi apa yang perlu kita lakukan sebagai pendidik guru ialah merangsangkan level peranjakan paradigma yang menjanjikan perubahan yang positif dan tuntas untuk memikul amanah mendidik.

Saya menamakan waktu zohor (1.15 hingga 1.45 tengah hari) sebagai zon tenang, menghimpunkan seluruh warga yang beragama Islam untuk berjemaah, pasrah dan sujud kehadrat ALlah s.w.t demi pengakuan bahawa kita makhluk-Nya yang lemah. Di kala tenang begini kita sama memohon keredhaan-Nya, moga-moga doa jemaah ini diberkati-Nya jua. Saya cukup puas dengan majlis tazkiyah yang diadakan selepas setiap solat zohor. Mudah-mudahan ilmu yang sedikit ini dipertingkatkan setiap hari oleh sahabat saya akan menghindari diri saya daripada kelalaian.

 


Kerangka Rujukan Kepimpinan.

Saban hari saya berkamil dengan warga maktab yang jumlahnya hampir 1,200 orang untuk saling mengenali ("li ta’arafu’). Setiap pagi saya menatapi wajah-wajah warga maktab, dengan tenang dan sabar saya memberi tahu diri saya bahawa inilah sumber tenaga manusia yang berpotensi untuk dimanfaatkan. Setiap warga saya ada fungsi yang akan dimainkan, ada perjanjian yang mesti ditunaikan. Setiap seorang daripada mereka ada potensi, ada kekuatan dan kelemahan. Setiap kekuatan mesti diperkukuhkan, kelemahan diminimumkan. Sebagai ketua ia laksana mantari dan petunjuk jalan. Ia mesti tegar dengan ilmunya, dan dengan segala daya membawa perubahan ke arah yang lebih baik secara berterusan, "al-islah mas-tata’tu" serta berpegang kepada falsafah keadilan dan ihsan - "al-adl wa ‘l-ihsan (Surah an-Nahl 16:90).

Saya sering berceloteh dengan anggota PAR atau PRA yang sedang menjalankan tugas masing-masing dengan tekun. Di antara mereka ada yang saya kenali dan disapa mesra. Ikatan silaturahim dan kemesraan mesti terjalin di antara pekerja dan majikan. Ini pesanan Allahyarham Jaafar Mamat yang wajar dijadikan kerangka rujukan. Kombinasi di antara faktor profesionalisme dan humanisme mesti berimbang. Teori pengurusan juga mengatakan seorang pemimpin akan melalui perjalanan yang berliku. Sesekali berdepan dengan jerangkap samar. Maknanya, pemimpin memerlukan elemen kecerdasan menangani rintangan - ‘AQ: adversity quotient’. Pemimpin tidak wajar membawa dirinya dari konsepsi keistimewaan, tetapi memikul sebuah amanah. Bertubi-tubi peringatan ini datang kepada diri saya pada setiap pagi. Ya, dalam memikul amanah seseorang mesti menyedari hakikat bahawa sebagai insan ia bersifat pelupa dan lalai (nasiya) justru pasti tidak terkecuali daripada kesilapan. Maka jika kesilapan yang dilakukan, ia mesti bersedia ditegur dan diperbetulkan. Jika apa yang dilakukan itu betul ia mesti disokong oleh jemaahnya. Tetapi betul dan salah itu sesekali relatif sifatnya kalau tidak berada pada sudut persepsi yang sama. Perkongsian persepsi pula tidak mudah dicapai. Orang yang berada di kandang pesalah akan mati-matian mempertahankan tingkahlakunya itu sebagai betul, waima ia diputuskan bersalah. Ini disebut "denial syndrome", Menafikan hakikat kesalahan pada diri sendiri langsung tidak akan melunakkan nafsu amarahnya. Sementelahan pula ia mengalihkan kesalahan pada orang lain. Lazimnya seseorang itu akan membela egonya, mempertahankan harga dirinya sendiri dengan menghalalkan segala cara yang diambilnya.


Saya melihat "denial syndrome" inilah yang akan mempersempitkan pintu islah diri. Keegoannya akan menutup pintu hati serta membelenggunya untuk memeriksa hakikat kelemahan dirinya. Inilah yang akan membawa gejala "perangkap minda" yang menjadi seteru utama kepada perubahan dan pembangunan diri. Saya pernah menegur seorang pelajar yang lewat untuk perhimpunan pagi. Paling memeranjatkan saya ialah alasan "kencing beraknya" pada pagi hari yang menghalangnya untuk hadir awal pada waktu perhimpunan. Loh!, kalau beginilah halnya besok lusa kamu akan mengulangi keculasanmu untuk menepati masa. Mana mungkin berubah perangai kamu!

Kekuatan diri dan keberaniannya untuk menyatakan penyesalannya, pengakuan kesalahan, "surrender and submission" untuk berubah hanya berada pada orang yang berkeperibadian. Saya pernah ketemu dua kes yang akan menjadi pengajaran buat diri saya secara peribadi. Pertama, individu profesional yang menafikan ketelanjuran diri, walaupun jelas "prima facie". Bukan sahaja penafian malah memanipulasi fakta kes. Kes kedua pula memperlihatkan individu yang tidak panjang akal untuk mempertahankan kesilapan diri, cuma rembasan air matanya sahaja yang menyatakan keinsafan diri dan mohon simpati. Dalam kes ini saya kagum dengan kekuatan peribadinya, beliau "surrender dan submit" kepada ketelanjurannya, dan rasanya masih belum terlewat untuk mengislahkan dirinya. Saya mohon pada Allah s.w.t yang maha berkuasa agar diperbetulkan ketelanjuran diri individu yang pelupa (nasiya) ini supaya dia beristiqamah dijalan-Nya yang benar. Ingatan saya kembali kepada pesanan Ustaz Sulaiman mengenai antah-antah yang akan tersepak ke tepi dalam kita merealisasikan tazkiyatun-nafs. Inikah gerangannya?

 


EPILOG

Organisasi beroperasi di atas muafakat jemaah. Ketua tidak boleh bersendirian dalam menggerakkan organisasinya. Ketua adalah pemandu dan perintis jalan dengan menyatakan wawasannya. Wawasan ini mesti digapai bersama dalam semangat ‘collective responsibility’. Pertama, pastikan wawasannya dimengerti, dikongsi, disepakati. Kedua, pengemblingan warga organisasi untuk mencapai wawasannya dengan tatakrama yang berhikmah. Ketiga, mesti ada elemen keberanian, kepenyayangan dan kekitaan - "we dare, we care and we share". Ah, ini mudah dikata, sulit dikota.

Seratus hari dan selepasnya di tempat baru ini, pasti saya akan menempuh segala realitinya. Bagaimanapun, saya tidak sekali-kali putus daripada berdoa selepas saya berusaha dan berbuat, dengan lafaz mulia, "Bismillahi-tawakkaltu-a’llallah, wala-haula-wala-quata-illa-billahil-aliyyil-azim".

Sekian.

Wallahu’Alam. Wamataufiqi-illa-billah.

080698.