Undur

Menjana dan Merealisasikan Idea "a learning organisation".

Tidak keterlaluan kiranya dalam kesempatan ini saya menyorot lebih lanjut berhubung dengan dua usaha yang cukup gemilang bagi saya. Pertama, kemeriahan Program CPD (Continuing Professional Development). Kedua, penerbitan "Rakit Pengalaman", antologi puisi yang mengungkapkan dalam bait yang indah dan puitis mengenai gelodak rasa serta aspirasi pendidik. Penerbitan ini sebenarnya merealisasikan keinginan saya untuk melihatnya lahirnya "teachers' lore", yakni genre yang merakamkan kisah suka duka insan guru.

Saya meletakkan pengiktirafan yang tinggi terhadap usaha ke arah peningkatan profesional dikalangan ahli organisasi, semetelahan pula pendidikan guru secara langsung berfungsi sebagai pekerja ilmu. Oleh hal yang demikian organisasi kita mesti berorientasikan kepada "a learning organisation". Secara idealnya setiap individu dimaktab ini mestilah komited untuk menjadi lebih baik pada hari esoknya berbanding pada hari ini dan ini dicapai melalui pembelajaran yang berterusan. Pembelajaran berterusan memberi implikasi kepada penambahbaikan yang berterusan kepada organisasi. Individu dan organisasi yang berkembang akan memberi kesan kepada kepuasan pelanggan, justeru institusi akan membina masa depan yang lebih gemilang. Keadaan ini menepati kata-kata seorang penulis yang tersohor, Peter Senge dalam bukunya, "The Fifth Discipline" yang menyatakan "bila anda belajar, perlakuan anda berubah" maknanya pengislahan diri akan berlaku, dan penulis ini juga mengatakan dengan membina "budaya organisasi yang belajar" akan menjadikan organisasi itu bertenaga. Saya juga berpandangan bahawa institusi pendidikan itu seperti "a living system", bagaimanapun sebagai sistem yang hidup terdapat pula tekanan yang kuat untuk mengekalkan kepada "homeostasis", yakni kembali kepada keadaan asal (status quo). Oleh yang demikian terdapat kecenderungan dikalangan kita yang mahu mengekalkan status quo jumud atau anti kepada reformasi diri. Maka disinilah cabarannya. Kita inginkan satu pasukan pekerja ilmu yang tidak mahu mengaku kalah, tidak mudah membungkus diri dalam zon selesa, "arrogance and complacency" dalam mendepani ilmu dan pembelajaran. Marilah kita beristiqamah membangunkan diri dengan ilmu, memeriahkan kerja buat kita bersandarkan ilmu kerana ilmu itu akan memancarkan kebenaran (bukan kebatilan), amanah (bukan khianat), tablig (bukan kikir dalam menyampaikan), dan kebijaksanaan (bukan kedunguan).