Undur

Tahap Kepedulian kita…

Saya cuba merenung secara mendalam dan teliti tentang makna daripada fenomena semasa dengan perutusan ALLah swt. di bulan mulia 17 Ramadhan itu. Apakah budaya iqra' telah bersemadi dan berurat bernadi dalam kehidupan kita? Para akademia bercakap tentang dunia sekarang memerlukan "pekerja berilmu", "sapare-aude", "thinking workforce", "the learning organisation", "surpertition", "multimedia super corridor" dan "sekolah bestari" untuk mendepani era teknologi maklumat yang rencam dan canggih ini. Para akademia juga turut memberi amaran bahawa ketidakpedulian kita dalam hal ini akan membawa bencana. Hazel Henderson dalam karyanya, "Paradigms in Progress: Life Beyond Economics (1991)", memperkatakan tentang betapa kita memerlukan pemimpin yang mempunyai "global vision" dan "global intelligence". Katanya lagi dunia sedang menuju ke arah "virtual catastrophe", suatu bencana yang bakal menggugat kerana dunia IT/global sedang beralih ke arah: virtual (maya bagaikan fatamorgana); infective (menjalar bagai virus), dan floating (mengapung dan berputar secara global bagaikan mengikut sebuah orbit).

Saya kini ingin mengalih perhatian kepada keluarga akademik (pendidik guru) dan para pelajar bakal guru. Saya masih ingat dalam pertemuan pertama saya pada 9 Febuari 1998 dengan staf akademik saya menggariskan "Agenda Kita: Memperkasakan Akal Budi". Kita juga telah membincangkan sepuluh agenda teras dan sepuluh agenda tindakan untuk kita merealisasikan slogan "Maktab Gemilang, Pelajar Cemerlang". Sejauh manakah kita telah merealisasikan Agenda Kecemerlangan Maktab ini adalah terpulang kepada penilaian warga akademik, pelajar, staf sokongan dan diri saya sebagai peneraju organisasi. Mari kita semak kembali agenda yang telah kita persetujui itu kemudian sama-sama kita membuat introspeksi: Pertama, 10 Agenda Teras: · Pernyataan Misi · Piagam Pelanggan · Penentuan Sasaran Kerja · Permuafakatan · Pengurusan dan Kepimpinan · Pengupayaan Staf dan Pelajar · Pemantauan · Penghayatan Budaya Iqra' · Penghayatan Budaya Al-Falah · Pengurusan Kewangan Tanpa Cacat.

Kedua, 10 Program Tindakan: · Program Khidmat Cemerlang · Program Zero Defect · Program Tingkat Wibawa · Program Tingkat Bahasa Inggeris · Program Tingkat Matematik · Program Maju Diri · Program Staf Cemerlang · Program Pelajar Cemerlang · Program Bersih Disiplin · Program Khidmat Masyarakat.

Agenda ini telah diapung dan dibahaskan pada 9 Febuari 1998, setelah setahun berlalu apakah hasilnya? Kita tidak boleh saling menunding jari kiranya terdapat kegagalan atau kekurangan kerana pelaksanaan agenda ini adalah "a collective responsibility". Dimanakah tahap kepedulian kita terhadap agenda ini. Saya tidak mendabik dada memproklemirkan bahawa tahap kepedulian adalah cemerlang dan seratus persen, kerana ini adalah menafikan realiti. Orang bestari mengatakan, "there are three catagories of people: the one who makes things happen, the one who witnesses the happening, and the one who does not know what is hapenning!", maka dalam kategori mana kita berada sebagai seorang professional disebuah institusi ilmu? Saya juga turut bertanya diri sendiri, di mana saya? Amat beruntung kiranya ramai dikalangan kita yang membara dengan semangat dan tindakan "to make things happen" demi mengangkat maruah dan martabat institusi ini sebagai gedung ilmu!