undur

17 Ramadhan yang mulia… Marilah kita menanfaatkan ilmu!

Jam dinding menunjukkan 6.30 pagi. Sepatutnya diwaktu sebegini saya sudah mulai memutar steering kereta untuk berangkat ke bilik kerja. Namun, kerana cuti Nuzul Quran (17 Ramadhan 1419) maka saya mengambil kesempatan disaat yang penuh keberangkatan ini untuk memulakan penulisan cetusan dan introspeksi setahun saya di Maktab Perguruan Kuala Terengganu, Batu Rakit.

Sebentar tadi, dalam keheningan subuh diperjalanan pulang daripada masjid bersama dengan dua orang anak saya Arif (6 tahun) dan Anuar (9 tahun), saya memberi takzirah pendek kepada keduanya tentang keberangkatan dan sejarah 17 Ramadhan yang teramat besar ertinya kepada kemuliaan tubuh ilmu, nur iman dan penunjangan kalimah syahadah bagi ummat yang terpilih ini. Dikatakan oleh ulamak satu malam yang digelar "lailatul mubarakah" ditandai dengan permulaan turunnya Al-Quran. Baginda Rasulullah S.A.W. ketika bersendiran di Bukit Hira' merasakan betapa kerosakkan kaumnya, sehingga mencetuskan tekad untuk melakukan pengislahan sama ada mengenai kepercayaan, peribadatan mahupun muamalah dalam kehidupan. Namun baginda tidak mengetahui jalan mana yang mahu dilaluinya, sementelahan baginda seorang ummi (buta huruf). Maka ketika datangnya malaikat Jibrail yang menyuruh baginda membaca "Iqra" (Bacalah!…) maka reaksi baginda, "Aku tidak bisa membaca (ma-ana biqari)" - Surah Al-Alq 1-5. Ketidaktahuan, kecemasan dan kebingungan dengan konsep-konsep baru - Jibrail, Rasulullah, Iqra' dan bersua pengalaman yang baru dilaluinya menyebabkan baginda bergegas pulang dan kepada isteri baginda, Siti Khatijah disuruhnya "zammiluni, zammiluni…"(selimuti aku, selimuti aku…). Kemudian susulan daripada keadaan ini, baginda sekali lagi menerima perutusan ALlah melalui Jibrail yang berupa tegahan kepada tendensi untuk "menyelimuti diri" daripada meredah hakikat ilmu dengan amaran dan peringatan berikut, mahfumnya:

"Hai orang yang berselimut! Bangunlah dan berikanlah peringatan. Besarkanlah Tuhanmu! Bersihkanlah pakaianmu! Jauhilah hal yang kotor, dan janganlah memberi, kerana hendak memperolehi lebih banyak." (Surah al-Muddatstsir 1-6)

Marilah kita mengambil fikir dan hikmah daripada perutusan 17 Ramadhan ini. Betapa hebatnya implikasi perutusan ALlah itu kepada makhluknya agar memperkasakan diri dengan ilmu, justeru dengan akal budi yang perkasa menerokai ruang alam untuk mencari hakikat kebenaran yang menjanjikan kesejahteraan oleh ALLah swt.

Betapakah manusia yang "buta huruf" dan berkecenderungan "menyelimuti diri" daripada seruan menerokai ilmu akan menghadapi kerenah alam? Tidakkah kita terfikir dengan tinggal membungkus diri dan terbelenggu dalam keadaan dangkal ilmu tidak akan membawa keberuntungan sama sekali, sama ada pada dirinya sendiri mahupun ummah. Tepat sekali seperti kata leluhur yang bijaksana, "dengan ilmu hidup menjadi mudah, dengan iman hidup menjadi terarah, dengan seni hidup menjadi indah". Tanpa ilmu kita digelar bodoh, orang yang bodoh itu lemah. Kelemahan selalunya merebak dan hasilnya ialah kepapaan. Kepapaan itu mengarah kita kepada kekufuran (hadith Rasulullah). Nah! Lihatlah betapa senario dunia hari ini. Negara yang tahap buta huruf yang tinggi itu rata-rata mundur ketimbang negara yang meletakkan budaya ilmu sebagai keutamaan. Bukankah negara yang tinggi kadar buta huruf itu rata-ratanya miskin, mundur, mengemis dan meminta-minta ikhsan daripada negara yang maju? Betapa negara maju memperkotakkatikkan negara yang "miskin" dengan menentukan acuan dan agenda untuk mereka. Maka dimana pula letaknya jati diri dan kemerdekaannya? Tepat sekali amaran bahawa kepapaan itu menjurus ke arah kekufuran. Keadaan kini cukup gawat berikutan dengan era ledakan maklumat di bidang sains, teknologi dan bio-tech. Ini meletakkan jurang dan persaingan yang teramat tajam di antara negara bangsa untuk muncul sebagai "the winner and the agenda setter" dalam dunia tanpa sempadan hari ini. Maka dengan ada "the winner" ada pula yang bergelar "the loser", kerana ada yang bergelar "the agenda setter" maka ada pula yang menjadi "the agenda follower". Nah! Dimana letak kita? Qua Vadis!