Kegawatan Ekonomi: Bagaimana Reaksi Kita

Oleh :

Tn Hj Razali Ismail


 

Soros!

Boros!

Bolos!

Dikatakan menjadi punca kepada isu kontemporori - kegawatan ekonomi di Thailand, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Korea Selatan.

Soros!

Faktor Soros (George Soros) dikaitkan dengan punca luar negara: faktor globalisasi, angkara konspirasi, penyangak antarabangsa, spekulator dan manipulator luar, sistem perdagangan bebas dan perdagangan mata wang. Menurut pengamatan Lee Kuan Yew, kejahilan kita tentang ekonomi pasaran bebas adalah faktor penting yang membawa kepada kegawatan ekonomi di Asia Tenggara. Hakikatnya ialah, dasar ekonomi antarabangsa beroperasi di atas paradigma materialisme dan sistem pasaran bebas Barat. Liberalisme Barat tidak mengenal simpati pada kegigihan, nilai murni dan kerja kuat umat di negara yang sedang membangun. Andainya situasi yang ada menghalangnya daripada mengembang sayap pasaran bebas, segalanya akan dirempuh, waima kesekian lamanya orang membanting tulang, dan memeras keringat membangunkan ekonomi negara mereka. Dr. Mahathir pernah merungut bahawa perjuangan rakyat Malaysia selama lebih 30 tahun dimusnahkan dalam sekelip mata oleh "the rogue speculator".

George Soros ialah salah seorang pemegang dana gergasi antarabangsa. Soros menjadikan perdagangan mata wang sebagai satu aktiviti spekulasi dan lombong emas yang amat menguntungkan, tanpa mengira dan bersimpati apakah malapetaka yang bakal terjadi sebagai kesan sampingan atau langsung kepada ekonomi rantau ini. Tatacara ekonomi dunia adalah berpaksikan liberalisme. Perdagangan mata wang adalah sesuatu yang diizinkan di bawah kerangka ini. Setiap hari, tidak kurang daripada AS$3 trilion berputar, 95% digunakan untuk tujuan spekulasi, cuma 5% untuk pelaburan dalam sektor produktif. Di bawah tatacara ini yang akan mendapat laba yang besar ialah para pemegang dana gergasi seperti Soros. Di bawah era globalisasi hari ini, keyakinan terhadap sistem pasaran bebas menjadi semakin utuh dan berpengaruh hingga bagi para pentaksub menganggapnya sebagai satu agama baru yang digelar "market monotheism" oleh Roger Garaudy.


Dasar liberalisme adalah bersendikan kepada kebebasan individu yang boleh mengenepikan batasan moral. Prinsipnya "might is right". Individu yang punya kuasa dan modal boleh berbuat apa saja untuk mencapai kesenangan bagi dirinya. Ekorannya, apa yang berlaku ialah yang lemah menjadi makanan yang kuat, yang miskin makanan yang kaya lantaran ketiadaan batasan moral.Gara-gara prinsip kebebasan individu inilah Soros memanfaatkan peluang perdagangan mata wang di Asia Tenggara untuk kepentingan peribadi. Soros menghalakan serangan perniagaan mata wang ke atas Asia Tenggara. Dengan pantasnya nilai mata wang merudum. Soros tidak memperhitungkan nasib yang bakal menimpa rakyat yang berjuta yang sekian lama berhempas pulas untuk memperbaiki diri dan menikmati kemakmuran negara.

Akibat daripada malapetaka yang timbul daripada serangan perniagaan mata wang, maka kecur media massa berpolemik tentang teori konspirasi. Ada pihak yang mendakwa, wujud konspirasi kuasa Barat terhadap Asia. Ada pula pihak yang menafikan teori konspirasi bertanggungjawab kepada kegawatan ekonomi sekarang. Mereka yang berhujah pada landasan teori konspirasi dikatakan mahu menutup kesalahan diri sendiri, malah mahu menjadikan teori ini sebagai "ubat pelali" untuk melalaikan kita daripada menerima hakikat kelemahan diri sendiri (lihat Utusan Malaysia 14 Januari, 14 Febuari dan 25 Febuari 1998). Nah, dari sini mari kita menyemak diri sendiri!


Boros!

Boros ialah sikap kita. Sikap hodoh dalam berbelanja, lalai dan amat pelahap dengan materil serta bermegahan dengan kemewahan. Sikap ini bertentangan dengan nilai murni yang hendak dibangunkan di jiwa rakyat: berjimat, berhemat dan bermunasabah. Di kala senang rata-rata kita berbelanja besar dengan pelbagai agenda mega yang berunsur "excessiveness". Ada pemerhati mengatakan keghairahan kita dengan pelbagai projek raksasa dan agenda mega hanyalah semata-mata untuk mengubati penyakit ‘inferiority complex’ yang dideritai selama ini lalu kita ghairah dengan pembangunan monumental. Keborosan ini semakin tenat apabila digabungkan dengan sikap tamak haloba, seperti kata Gandhi, "…the world has enough for everyone’s needs, but not for everyone’s greed".

Kalangan korporat dan swasta yang "ambitious" yang beroperasi di atas dasar "virtual money" dalam aktiviti ekonomi yang tidak produktif, menjadi ghairah untuk melahap keuntungan dengan menambah modal, sama ada dengan meminjam wang daripada dana dalam negara atau luar negara. Kecenderungan ini akhirnya membawa musibah dalam bentuk beban hutang luar yang besar kepada negara dan masyarakat. Perangkaan menunjukkan sehingga Jun 1997, lima buah negara Asia, iaitu Indonesia, Korea Selatan, Thailand, Malaysia dan Filipina menanggung hutang luar keseluruhannya bernilai AS$274.5 bilion daripada bank luar negara. Institusi kewangan luar yang paling banyak membiayai pinjaman ialah bank dari Jepun (AS$97.2 bilion), Jerman (AS$31.7 bilion), Perancis (US$24.6 bilion), Amerika Syarikat (AS$23.8 bilion), Britian (AS$16.3 bilion) dan negara-negara Eropah serta Kanada (US$80.9 bilion) demikian menurut laporan majalah Fortune, 16 Febuari 1998, "US Bank Avoid Disaster". Memang tiga dekad sebelum ini prestasi ekonomi negara Asia ditandai oleh pertumbuhan yang pesat, namun kepesatan ini sebenarnya dibayangi oleh "penjara zon selesa" serta kerakusan dan kegelojohan materialisme yang tajam di bawah nama sistem pasaran bebas (liberal-kapitalisme). Secara sinis pemerhati luar negara menamakan tiga dekad yang pesat membangun itu juga sebagai "tiga dekad tamak"!. Hakikat ekonomi Asia digelar oleh Paul Krugman dalam Fortune, 2 Mac 1998, "Asia: What Went Wrong" hanya sebagai "the bubble economy" yang hanya menunggu ketika untuk pecah gelembungnya.

Kita berada di jurang bahaya apabila boros dan tamak bergabung. Etika masyarakat yang condong kepada sifat tamak haloba, hamba boros kepada nafsu berbelanja, cemburu, ranggi dan suka menunjuk-nunjuk adalah manifestasi kepada sifat hodoh yang bukan mengutamakan kepentingan masyarakat, tetapi sifat yang mementingkan diri individu. Sifat mementingkan diri inilah menjadikan seseorang itu biadab terhadap peraturan dan hukum yang ada. Dengan pelbagai ikhtiar dan putar belit, peraturan dan tatacara yang ada ditolak ke tepi, dibolosi demi kepentingan dan laba individu.


 

Bolos!

Bolos pula dikaitkan dengan fenomena pelanggaran undang-undang dan tatacara yang ada. Bukan sempadan negara kita sahaja yang dibolosi oleh pendatang haram daripada negara jiran. Malah pembolosan berlaku dalam pelbagai bentuk, yakni mengingkari atau tidak meraikan undang-undang, peraturan dan tatacara, sama ada berlaku secara terang- terangan mahupun sulit seperti kes rasuah, skandal kewangan dan gejala "crony capatilisme" (kapitalisme suku sakat - istilah TPM) atau kuncuisme. Pembolosan ini menjanjikan pelbagai masalah sosial, ekonomi dan politik.

Seluruh rakyat terperanjat besar apabila ekonomi negara merudum mulai Julai 1997. Tidak ada petanda yang nyata bahawa akan berlakunya kegawatan ini. Sebelum bulan Ogos 1997, negara Asia Timur ini mendapat jolokan sebagai negara naga dan harimau yang perkasa berdasarkan prestasi ekonomi yang mengajaibkan (economic miracle). Kadar pertumbuhan ekonomi negara semenjak sepuluh tahun kebelakangan ialah dalam lingkungan 8 - 10% setahun. Kita amat ghairah dengan prestasi ini. Ramai orang meramalkan Wawasan 2020 untuk mengangkat martabat Malaysia sebagai sebuah negara maju dengan acuan tersendiri akan menjadi realiti. Anwar Ibrahim pula turut ghairah, dan menaruh harapan dengan gagasan "Nahdah Asia" - kebangkitan Asia. Malangnya, secara tiba-tiba ekonomi kita merudum. Nilai mata wang kita merosot kira-kira 40 % berbanding dengan dolar Amerika. Sementara nilai saham jatuh hampir 70% Januari lalu. Ketangkasan pertumbuhan ekonomi terpaksa diperlahankan daripada 8% kepada 4%. Pada Oktober 1997 perbelanjaan kerajaan dipotong 18%. Langkah-langkah bagi mengukuhkan kestabilan ekonomi negara dibicarakan di Dewan Rakyat buat kali yang ketiga dalam masa yang singkat. Pengumuman langkah tambahan pemulihan ekonomi di Dewan Rakyat pada 24 Mac 1998, antaranya menyebut unjuran pertumbuhan ekonomi 1998 akan berada pada tahap 2 hingga 3 peratus. Inflasi meningkat pada kadar 7 - 8 peratus. Kadar pengangguran dijangkakan pada 3.5 peratus. Institusi kewangan akan digabungkan. Projek mega yang dikira tidak strategik dan produktif ditawakufkan. Dalam masa yang singkat rantau Asia Timur yang dahulunya digelar sebagai "tiger economi" telah bertukar "from a tiger to a pauper". Kejatuhan nilai mata wang telah memiskinkan rakyat menurut nilai dolar Amerika.


Di kalangan pelabur asing yang pelahap materil timbul keresahan, dan hilang kepercayaan terhadap peluang keuntungan dan keutuhan perniagaan di rantau ini, lalu berbondong-bondong mengeluarkan pelaburan masing-masing akibat dicengkam rasa panik. Meskipun saham yang dipegang oleh pelabur asing hanya kira-kira 25% sahaja daripada keseluruhannya, namun ia amat berpengaruh dan aktif serta dapat menentukan pasang surut pasaran saham. Oleh yang demikian, naik turun nilai pasaran saham ditentukan oleh pelabur asing.

Seluruh rakyat tercabar dengan fenomena ini. Kita tidak boleh gelabah. Menuding jari untuk mencari siapa bersalah tidak akan menyelesaikan masalah. Tidak berbuat apa-apa pula bererti menempah nahas. Cabaran terintang di hadapan. Inilah hakikat hidup, senang dan susah silih berganti. Pokoknya apa reaksi kita?


Adversity Quotient

Kita memerlukan daya juang yang mengkristal dalam tempoh yang mencabar, terintang atau ‘adverse’ (perihal keadaan yang tidak menyenangkan, antagonistik) ini. Petua yang diberikan oleh Paul G. Stoltz untuk menghadapi gelodak semasa ialah dengan setiap individu memiliki "AQ" atau "adversity quotient" yakni kebijaksanaan serta kecekalan untuk terus mengharungi rintangan dan terus maju ke hadapan.

Faktor "AQ" ini tidak teruji dalam masa senang dan mewah, kerana takala begini kita bersikap mudah, selesa, complacent dan sesekali arrogant. Dalam keprihalan ini saya teringat satu dialog di antara seorang rakyat Switzerland dengan rakyat Itali. Dalam dialog itu rakyat Switzerland merumuskan bahawa yang nyata dalam perjalanan sejarah Itali ialah penuh dengan peristiwa pahit pertelingkahan dan peperangan. Reaksi rakyat Itali kepada teguran ini ialah, ".. memang sepanjang sejarah silam kami penuh dengan peristiwa jatuh bangun, namun Itali masih berbangga kerana telah melahirkan Michelangelo, Leonardo da Vinci dan sebagainya, tetapi dalam sejarah negara kamu yang aman damai sepanjang 500 tahun, Switzerland hanya mampu mengeluarkan "chocolates and cows". Sejarah juga telah membuktikan bahawa kebangkitan Jepun selepas perang dunia kedua adalah hasil daripada fenomena mengharungi rintangan dengan iltizam dan tekad yang cekal. Lonjakan ekonomi kaum bumiputera pun dikaitkan dengan fenomena mengharungi rintangan selepas tragedi 13 Mei 1969. Barangkali di sinilah letaknya hikmah pepatah sudah terhantuk baru mengadah! Maka dapat dirumuskan bahawa faktor "AQ" yang tinggi akan mendorong kita mencapai kejayaan, kehebatan dan keluarbiasaan.

Anwar Ibrahim dalam satu ucapan di Kelab Union, New York pada 15 April 1998 yang bertajuk, "Krisis di Asia: Implikasi Ekonomi dan Politik" menegaskan "adversity is the best teacher". Kita belajar daripada "adversity" untuk membuat reformasi dan beberapa ketetapan seperti membersihkan perkara-perkara yang mencacatkan pertumbuhan ekonomi, dan sistem sosial bagi memulihkan ekonomi Malaysia. Dengan mengambil pengajaran daripada keadaan kegawatan ini, Anwar berjanji untuk membuat reformasi serta memerangi rasuah, nepotisme, pilih kasih, lintah darat dan cronyism. Katanya lagi, kita akan membuat perubahan terhadap sistem transaksi kewangan dunia agar ada ketelusan dan keadilan. Harus ada peraturan dan kawalan yang boleh mendisiplinkan, bukan sahaja peminjam tetapi juga pihak yang memberi pinjaman. Dengan nada yang penuh optimis Anwar meramalkan, "kita akan muncul semula lebih sihat, teguh dan gagah selepas sakit!".


 

Quo Vadis!

Ke mana kita selepas era kegawatan ekonomi sekarang?

Sekitar tahun 1990 sistem komunis runtuh di Rusia dan Eropah Timur, lalu negara-negara blok komunis berpaling kepada sistem liberal-kapitalisme (pasaran bebas) tajaan Amerika. Keruntuhan blok komunis menjadikan Amerika puak jaguhan yang tiada taranya. Amerika muncul sebagai pemenang dan mengambil peranan sebagai pentakrif tatacara dunia (the New World Order), sekaligus diberi gelaran "the global cop". Nah, hari ini giliran sistem liberal-kapitalisme pula sedang menghadapi kegawatan menuju keruntuhan. Ini terbukti daripada peristiwa kemelut ekonomi negara-negara harimau di Asia Timur yang memilih sistem pasaran bebas runtuh satu demi satu, dan melutut mohon ihsan daripada IMF.

Sesungguhnya semenjak zaman Karl Marx lagi sistem liberal-kapitalisme diramalkan akan runtuh. Sementara pengkritik sistem komunisme pula menjangkakan sistem komunis akan runtuh. Maka setelah kedua-duanya runtuh, apakah alternatifnya? Dr. Mahathir membayangkan kita perlu merombak sistem yang ada sambil menyifatkan perniagaan mata wang sebagai "immoral", namun beliau insaf bahawa cabarannya teramat besar untuk merubah sistem liberal-kapitalisme kerana tekanan globalisasi terlalu kuat. Kata Anwar Ibrahim, sistem "ekonomi yang manusiawi" (Anwar Ibrahim, Gelombang Kebangkitan Asia", DBP, 1997 , hlm. 95-112) sistem ekonomi yang disulami dengan nilai-nilai akhlak, "al-adl wal al-ihsan" boleh menjadi wadah baru dan alternatif kepada dua sistem sekular yang sudah runtuh. Ekonomi yang manusiawi akan meletakkan batasan moral terhadap sistem ekonomi demi menegakkan yang makruf dan menghalang yang mungkar.


Anwar dengan penuh optimis turut meramalkan bahawa akan berlaku "Nahdah Asia" yakni kebangkitan tamadun dan budaya Asia berlandaskan prinsip akhlak bersepadu dengan ketangkasan sains dan teknologi. Jeffrey Sachs, penasihat ekonomi di beberapa buah negara Asia turut mempunyai pandangan optimis tentang masa depan Asia. Katanya, Asia berpotensi memulihkan keadaan dan mengejar kemajuan ekonomi Barat kerana Asia kini menyumbang kepada keluaran dalam negeri kasar (KDNK) seluruh dunia sebanyak 40%. (J.D.Sachs,"Asia’s Miracle is Alive and Well", TIME, 29 September, 1997, ms.36).

Ibn Khaldun juga pernah meramalkan selepas 700 tahun mengalami keruntuhan, tamadun Islam akan kembali ke singgahsana. Apakah era "adversity" dan kegawatan sekarang akan menghasilkan satu reformasi besar-besaran kepada citrajagat ekonomi dunia, iaitu suatu sistem ekonomi yang moralistik dan Islamik?


 

Sekian. Wallahu’Alam. Wamataufiqi-illa-billah.

22 April 1998

25 Z’hijjah 1418.