MATEMATIK KBSM: HARAPAN DAN REALITI
Oleh :
Jabatan Sains & Matematik, MPKTBR
Pengenalan
Antara objektif Matematik KBSM ialah untuk membolehkan pelajar mengetahui dan memahami konsep, di samping menguasai kemahiran-kemahiran asas yang berkaitan dengan mata pelajaran tersebut. Untuk mencapai objektif, para pendidik matematik disarankan agar merancang dan melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan pelajar secara aktif. Pembelajaran dilakukan menerusi pengalaman yang meliputi aktiviti penemuan, dan memberi peluang kepada pelajar untuk sampai kepada sesuatu kesimpulan atau penyelesaian masalah dengan sendirinya (KPM, 1990). Dengan demikian, pelajar dapat mempelajari matematik dengan lebih mudah, seronok dan mengembirakan.
Pelaksanaan Program Matematik KBSM
Setelah KBSM berusia hampir lapan tahun, didapati pandangan dan prestasi murid terhadap matematik masih pada tahap yang membimbangkan (JNS, 1996). Manakala gaya dan amalan pengajaran guru masih dengan cara tradisional; iaitu berpusatkan guru (JNS, 1996; Abdul Razak & rakan-rakan, 1996; Saw Kian Swa, 1996; Agness Voo, 1996; Fatimah , 1996 dan Amir , 1996 ). Sebagaimana yang diketahui, minat dan prestasi murid dalam matematik berkait rapat dengan pengetahuan, kefahaman dan kepercayaan seseorang pendidik terhadap matematik serta gaya dan amalan pengajarannya dalam bilik darjah ( Thornton, 1977; Ensey & Cooney, 1997; Cooney, 1982; Scott, 1977; Smith, 1977; Eisenberg, 1977 ). Terdapat juga, sebahagian daripada pendidik pada hari ini, yang telah mengalami hakisan 'professional qualities' dalam karier masing-masing. Hakisan 'professional qualities' yang dimaksudkan di sini merangkumi banyak perkara, dan salah satu daripadanya ialah amalan pengajaran pembelajaran matematik yang tidak bermakna; iaitu pengajaran dan pembelajaran yang tidak menekankan proses pembinaan skim pengetahuan yang bermakna, penyelesaian masalah serta penghayatan matematik dalam kehidupan seharian (Nik Azis, 1982; Cockcroft, 1982). Aktiviti pengajaran lebih tertumpu kepada asuhan penguasaan kemahiran melalui beberapa siri latih tubi, tanpa melibatkan kefahaman konsep yang jelas dan bermakna. Pembelajaran yang seperti ini biasanya bermula dan berakhir dengan himpunan pelbagai simbol dan istilah matematik yang abstrak di samping beberapa petua dan peraturan yang perlu dihafal ( Skemp, 1989; McKnight, et al, 1987; Davis, 1986; Tengku Zawawi, 1997; Amin, 1993 ). Pembelajaran secara hafalan merupakan pendekatan utama dan dianggap sebagai strategi terpenting dalam menghadapi peperiksaan. Keadaan seperti ini akan menyebabkan para pelajar merasa bosan, jemu dan benci terhadap matematik dan pembelajaran matematik, khususnya di kalangan pelajar yang lemah.
Matlamat dan Objektif Matematik KBSM
Kurikulum Matematik KBSM membekalkan pendidikan matematik yang umum, menyeronokkan dan mencabar bagi semua pelajar, yang memberi fokus kepada keseimbangan antara kefahaman konsep dengan penguasaan kemahiran, penggunaan matematik dalam situasi sebenar, kemahiran menyelesaikan masalah serta cara berfikir secara logik, kritis dan bersistem. Turut diberi perhatian ialah penerapan nilai murni untuk melahirkan warga negara yang dinamik dan amanah ( KPM,1990; Nik Azis, 992 ). Selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara, Matematik KBSM telah dirancang untuk memberikan pelajar suatu pengalaman yang mengandungi:
Sehubungan dengan itu beberapa aspek tertentu diberikan tumpuan khas dalam sukatan pelajaran Matematik KBSM. Aspek-aspek itu adalah:
Matlamat Matematik KBSM adalah untuk memperkembangkan pemikiran mantik, analitis, bersistem dan kritis, berkemahiran dalam penyelesaian masalah dan ber kebolehan menggunakan ilmu pengetahuan matematik supaya seseorang individu dapat berfungsi dalam kehidupan seharian dengan berkesan dan bertanggungjawab, dan menghargai kepentingan dan keindahan matematik.
Secara ringkas, objektif Matematik KBSM ialah untuk membolehkan pelajar;
2. memperkukuh dan memperluas penggunaan kemahiran tambah, tolak, darab dan bahagi;
3. menguasai kemahiran-kemahiran asas iaitu :
4. menguasai kemahiran menjalankan algoritma
5. menguasai kemahiran menyelesaikan masalah
6. menggunakan pengetahuan dan kemahiran matematik dalam pengurusan kehidupan seharian
( NCTM, 1980; KPM, 1990 )
Jelas dapat diperhatikan sama ada daripada matlamat atau objektif pendidikan matematik, bahawa setiap pelajar dikehendaki memahami setiap konsep, dan diikuti dengan penguasaan kemahiran-kemahiran berkenaan di samping menghayatinya dalam kehidupan seharian, kerana pemahaman konsep matematik penting dalam meningkatkan kemampuan pelajar menyelesaikan sesuatu masalah.
Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Matematik KBSM
Pendidikan Matematik KBSM yang menyambungkan usaha KBSR memberi penekanan kepada perkembangan potensi individu secara menyeluruh, seimbang dan sepadu melalui beberapa langkah seperi yang berikut:
( KPM, 1990; Nik Azis , 1992 )
Bagi memastikan pendidikan Matematik KBSM dapat berjalan dengan berkesan, para pendidik matematik hendaklah memiliki skim pengajaran yang selari dan selaras dengan kehendak-kehendak KBSM, yang melibatkan dimensi seperti yang berikut:
Pengajaran dan pembelajaran matematik di dalam kelas perlu kepada strategi yang kemas dan teratur supaya hasrat di atas tercapai sepenuhnya. Strategi pengajaran dan pembelajaran yang paling sesuai ialah melalui pengalaman aktif, reflektif dan pengabstrakan ( Nik Azis, 1992 ). Ketiga-tiga unsur di atas melibatkan penguasaan kemahiran, di samping menggunakan pengetahuan yang tertumpu kepada :
Strategi ini membabitkan pembahagian pembelajaran akademik kepada tiga peringkat yang berkaitan antara satu sama lain:
Dalam fasa pengalaman aktif, para pelajar melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pembelajaran, sama ada dalam pengalaman sebenar atau pengalaman simulasi (lakonan). Pada peringkat ini, penekanan pembelajaran adalah kepada pemikiran konstruktif oleh semua pelajar, dengan aktiviti pembelajaran bertumpu kepada pembinaan konsep baru atau penguasaan kemahiran baru, dan bukan kepada penganalisisan konsep atau kemahiran. Pengalaman aktif dalam bentuk penerokaan, penemuan, inkuiri dan penyelesaian masalah dirancang oleh guru berasaskan dua prinsip iaitu;
Prinsip penjelmaan pelbagai menegaskan bahawa dalam proses pembinaan sesuatu konsep, pelajar harus didedahkan kepada berbagai-bagai bahan konkrit dan manipulatif yang berbeza tetapi membabitkan konsep yang sama. Tujuannya ialah untuk mendedahkan pelajar kepada situasi berbeza yang menggunakan konsep yang ingin dipelajari. Aktiviti pembelajaran yang berasaskan prinsip ini memberi tumpuan kepada unsur persamaan. Prinsip kebolehubahan kandungan pula menegaskan bahawa dalam proses pembinaan sesuatu konsep, pelajar harus didedahkan kepada bahan konkrit dan manipulatif yang membabitkan beberapa konsep yang berbeza, disamping konsep yang ingin dipelajari, supaya dengan itu pelajar dapat membuat perbandingan tentang ciri-ciri konsep yang hendak dipelajari. Aktiviti pembelajaran yang berasaskan prinsip ini memberi tumpuan kepada unsur perbezaan ( Nik Azis,1992 ).
Peranan guru matematik dalam KBSM
Dalam pendidikan Matematik KBSM, guru perlu arif dalam strategi pengajaran dan pembelajaran yang dapat memupuk pelajar membina konsep dan menguasai kemahiran di samping menghayatinya dalam kehidupan seharian. Guru matematik perlu memaparkan sifat-sifat yang matang, berfikiran terbuka, kreatif, inovatif, konstruktif, rasional dan bijaksana (Nik Azis, 1996). Guru matematik seharusnya dapat menjawab persoalan berikut:
( Nik Azis, 1996 )
Jika diteliti, memang terdapat banyak soalan yang perlu dijawab oleh guru pelatih atau guru yang sedang berkhidmat. Namun di atas tujuan untuk melahirkan para pendidik matematik yang sempurna dari segi rohani, jasmani, emosi dan akal, maka segala persoalan tersebut harus difahami dan dihayati sepenuhnya. NCTM (1980) telah mengemukakan beberapa peranan yang seharusnya dimainkan oleh para pendidik matematik. Setiap pendidik matematik mestilah bertanggungjawab untuk memiliki dan mengekalkan ketrampilan (competence) dalam pangajaran dan sentiasa berusaha untuk:
Teachers must be sensitive to the needs of their students and dedicated themselves to the improvement of student learning as their primary professional objective
( NCTM, 1980: 25 )
Any teacher who lacks dedication to these professional ideals and to continued self-improvement should not be retained in teaching. Teachers must accept performance and not protectionism as a synonym for professionalism
( NCTM, 1980: 26 )
Sebagaimana guru-guru lain, guru matematik juga perlu memainkan peranan sebagai
Realiti perlaksanaan program matematik KBSM
KBSM yang diperkenalkan pada tahun 1989 adalah lanjutan daripada KBSR yang mula diperkenalkan pada tahun 1983. Penggubalan KBSM adalah berpandukan kepada prinsip-prinsip kesepaduan unsur-unsur intelek, rohani, emosi dan jasmani, pendidikan umum untuk semua pelajar, pendidikan seumur hidup, penekanan kepada unsur-unsur nilai dan peningkatan penguasaan Bahasa Melayu. Kini pelaksanaan KBSM telah pun menjangkau usia lebih dari lapan tahun. Sejauh manakah tahap pelaksanaannya ? Adakah objektif dan matlamat yang dihasratkan telah tercapai sepenuhnya ? Apakah masalah yang dihadapi semasa proses pelaksanaannya ? Semua persoalan ini perlu mendapat perhatian setiap pendidik dan bakal pendidik.
Beberapa kajian telah dijalankan untuk menilai pelaksanaan KBSM di sekolah menengah dan rendah yang melibatkan pelajar, guru, pentadbir dan ibu bapa ( Muhardi, 1996; Mohd Taib, 1996; Maarof, 1996; Sharifah, 1996; Pumadewi, 1996; Musak, 1996; Sazali, 1996 ). Berhubung dengan pelaksanaan KBSM dalam bilik darjah, terdapat juga kajian tentang proses pengajaran dan pembelajaran dalam beberapa mata pelajaran, dan bidang-bidang tertentu seperti Matematik dan Sains ( Abdullah dan rakan-rakan, 1996; Aziz, 1990; Fatimah, 1996; Ng Soo Boon, 1996; Manoharen, 1996; Mak Sai Mooi, 1996; Raja Sulaiman, 1996; Yusuf, 1996; Agness Voo, 1996 ), Bahasa Melayu ( Bali, 1996 ), Geografi ( Idris,1996), Pengajian Islam ( Jawiah dan Abd. Aziz, 1996; Ibrahim, 1996 ), Kemahiran Hidup ( Ahmad, 1996; Nurul Huda, 1996 ), Pendidikan Jasmani ( Chan Foong Mae, 1996 ) , penerapan nilai-nilai murni ( Rosnani, 1996 ), kemahiran berfikir dan stail belajar ( Kamariah dan rakan-rakan, 1996; BTP, 1996; Zurida, 1996; Abd. Rahman, 1996 ), pengujian dan penilaian ( Lee Chong Nim, 1996; Nik Hassan, 1996 ), buku teks ( BPPDP, 1996 ), program pemulihan dan pengayaan ( Rogayah, 1996 ) dan sumber pengajaran dan pembelajaran ( Yahya, 1996 ). Oleh kerana pengetahuan, kemahiran dan sikap guru sering dikaitkan dengan latihan perguruan, maka terdapat juga kajian yang berhubung dengan guru pelatih dan program latihan perguruan sama ada di universiti ataupun di maktab-maktab perguruan di Malaysia ( Osman, 1996; Mohd Majid, 1996; Nor Hayati dan rakan-rakan, 1996 ). Kajian penilaian yang dijalankan itu telah mengesan beberapa kekuatan dan kelemahan, khususnya yang berhubung dengan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Antara rumusan daripada beberapa dapatan yang diperolehi adalah seperti berikut:
Dalam kajian yang dijalankan oleh Jemaah Nazir Sekolah-Sekolah Persekutuan (1996), terdapat beberapa dapatan yang membimbangkan berhubung dengan pengetahuan, kefahaman, sikap dan gaya pengajaran para pendidik matematik.
Ringkasan dapatan daripada kajian tersebut adalah seperti berikut:
i. Pengetahuan dan kefahaman tentang KBSM
Masih terdapat sebilangan guru ( 25 % ) yang masih kurang pengetahuan, kefahaman dan kemahiran dalam pelajaran yang disampaikan mengikut kehendak dan keperluan KBSM. Termasuk juga di kalangan guru yang pernah mengikut kursus orientasi KBSM.
ii. Kaedah dan strategi pengajaran
Dari segi penggunaan kaedah dan strategi pengajaran, prestasi guru pada amnya adalah pada tahap sederhana, kerana sebilangan kecil guru sahaja yang mengamalkan dengan baik kaedah dan strategi yang disarankan untuk KBSM. Mereka masih mengutamakan kandungan sukatan pelajaran yang perlu dihabiskan dalam tempoh waktu yang ditentukan. Mengajar dan melatih pelajar untuk ujian dan peperiksaan sama ada dalaman atau luaran ( yang diselaraskan di peringkat sekolah, daerah dan negeri serta peperiksaan awam PMR/SPM/STPM ) menjadi sasaran, dan tumpuan pengajaran dan pembelajaran. Kehendak-kehendak KBSM yang lain biasanya kurang diberi perhatian. Kebanyakan pelajaran yang diperhatikan masih berpusatkan guru; iaitu guru memainkan peranan sebagai penyampai maklumat atau penunjukcara dengan pelajar berperanan sebagai penerima pengetahuan atau pemerhati. Penyertaan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran biasanya kurang aktif, dan terhad kepada memberikan respon kepada arahan atau soalan guru sahaja. Keadaan ini wujud kerana kurang terdapat aktiviti seperti kegiatan kumpulan, penyiasatan, penyelesaian masalah, inkuiri-penemuan, kerja kursus dan sebagainya yang berpusatkan murid serta melibatkan mereka secara aktif sama ada dari segi fizikal atau pun dari segi intelek.
Pada amnya pelaksanaan teras KBSM berlaku secara kebetulan sahaja. Hanya sebilangan kecil guru yang merancang terlebih dahulu penerapan nilai murni, kandungan mata pelajaran lain, aspek bahasa, aplikasi dalam kehidupan seharian dan sebagainya. Dalam banyak situasi, ternyata peluang bagi penerapan unsur-unsur tersebut tidak dieksploitasikan. Aspek KBKK ( Kemahiran Belajar Secara Kritis dan Kreatif ) juga kurang ditekankan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran seperti soal jawab, perbincangan, penyelesaian masalah dan kerja amali.
Kajian oleh Abdul Razak (1993) mendapati bahawa minat para pelajar terhadap matematik bergantung kepada cara pengajaran yang dijalankan oleh guru. Pengajaran yang berteraskan fahaman binaan dengan penekanan kepada pemahaman konsep akan mendatangkan rasa minat, dan kesedaran dalam diri pelajar terhadap kepentingan matematik dan berusaha menggunakan matematik untuk menyelesaikan masalah dalam mata pelajaran lain, dan dalam kehidupan harian. Mereka didapati lebih berhati-hati, bekerjasama, mempercayai serta saling menghormati antara satu sama lain ( antara murid dengan murid dan antara murid dengan guru ).
Agness Voo (1996) dalam kajiannya terhadap pengajaran guru-guru di Daerah Papar, Sabah mendapati, proses pengajaran dan pembelajaran masih tertumpu kepada aktiviti penerangan dan hafaz sesuatu fakta atau prosedur. Sebagai contoh :
Luas = 1/2 x Tapak x Tinggi
diperkenalkan begitu sahaja tanpa pelajar mengetahui atau memahami kesinambungan di antara luas segiempat tepat dengan luas segitiga. Akibatnya, pelajar tidak diberi peluang untuk menaakul (reasoning) atau memperkembangkan kemahiran berfikir mereka. Malah matematik akan dianggap sebagai satu mata pelajaran yang sukar, dan tidak beerti.
Sering berlaku dalam pengajaran dan pembelajaran matematik di peringkat sekolah menengah, para pelajar dikehendaki membuktikan teorem. Peranan guru hanya tertumpu kepada menerang atau menunjukkan bagaimana teorem itu dapat dibuktikan, dan kemudian murid-murid menyalin serta mengingati cara pembuktian tersebut ( Ng See Ngean, 1982 ). Guru telah mengabaikan suatu proses penting dalam aktiviti pengajarannya, iaitu bagaimana cara seseorang menemui sesuatu teorem itu. Jelasnya, proses berfikir dalam pembuktian teorem tersebut tidak dilibatkan. Contoh lain boleh dilihat dalam pembuktian hukum sinus; iaitu guru-guru tidak memberitahu bagaimana dan mengapa satu garis tegak mestilah dilukis dari puncak kepada tapak segitiga. Para pelajar hanya ditunjukkan bagaimana rumus-rumus yang terdapat dalam topik tersebut boleh digunakan dalam menyelesaikan sesuatu masalah tanpa diterangkan mengapa rumus itu dicipta atau digunakan. Situasi seperti ini akan menghasilkan pembelajaran hafaz tanpa kefahaman dan kemahiran berfikir serta proses penyelesaian masalah.
Kajian oleh Fatimah (1996) terhadap seorang guru matematik mendapati guru tersebut tidak mempunyai skim penyelesaian masalah yang tertentu. Bagi guru ini, penyelesaian masalah hanyalah sebagai satu aspek penting dalam matematik KBSM kerana kemahiran menyelesaikan masalah matematik mempunyai kaitan langsung dengan kemampuan seseorang menangani masalah kehidupan seharian. Bagaimanapun strategi penyelesaian masalah tidak mendapat perhatian guru ini dalam pengajarannya kerana keutamaan beliau adalah peperiksaan, sedangkan prosedur dan strategi penyelesaian tidak dinilai dalam peperiksaan. Beliau nampaknya lebih yakin dengan cara dan gaya pengajaran yang pernah beliau sendiri alami semasa belajar dahulu. Pengetahuan guru ini tentang kurikulum matematik KBSM dan bagaimana pelaksanaannya di peringkat sekolah adalah amat kurang. Keadaan ini menyebabkan beliau tidak dapat menghayati aspirasi sebenar kurikulum matematik KBSM.
Kesimpulan
Kepercayaan, pemahaman atau pandangan guru terhadap matematik, pembelajaran matematik dan peranan guru sebagai pendidik matematik dapat diinterpretasikan dengan melihat keadaan, dan situasi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Kebanyakan sekolah masih menekankan guru sebagai sumber maklumat. Fungsi utama guru lebih tertumpu kepada membantu pelajar membuat persediaan menghadapi peperiksaan, dan seterusnya mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan. Penekanan yang dibuat adalah lebih kepada hasil pembelajaran, bukan kepada proses pembelajaran. Aktiviti dalam bilik darjah lebih menekankan kepada menghafal fakta sahaja ( Davis, 1986; Doyle, 1983; Amin, 1993; Ibrahim , 1994 ). Davis (1986) telah memperihalkan sifat asas matematik serta amalan , dan gaya pengajaran yang berlaku dalam bilik darjah :
Guru menyuap maklumat matematik kepada pelajar yang dianggap bersedia menerimanya. Pelajar menjadi seorang penerima yang pasif. Amalan pengajaran ini berpaksikan kepada anggapan bahawa orang berilmu ialah orang yang banyak menyimpan fakta, konsep, dan tatacara dalam kepalanya, dan mudah melahirkannya bila-bila masa. Amalan pengajaran matematik seperti ini tidak ada keperluan mendesak kepada sumber pengajaran dan pembelajaran atau alat bantu mengajar apatah lagi alat atau bahan bantu belajar. Keperluan hanyalah terhad kepada pensil atau pen dan kertas sahaja. Tidak hairanlah pelajaran matematik menjemukan, membosankan, dan akhirnya menyebabkan ramai pelajar benci kepada matematik, dan seterusnya kepada guru matematik itu sendiri ( Raja Sulaiman , 1996 ).
Secara keseluruhannya, KBSM mempunyai potensi untuk melahirkan warga pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek serta berketrampilan tinggi. Apa yang perlu ialah komitmen yang ikhlas dan bersungguh-sungguh daripada semua pihak yang terlibat, samada pelajar, guru, pentadbir dan ahli masyarakat.
Penutup
Amalan guru dalam melaksanakan kurikulum Matematik KBSR dan KBSM, pada keseluruhannya masih berpusatkan kepada guru . Aktiviti yang melibatkan murid sangat terhad. Pengajaran konsep matematik dengan menggunakan pelbagai petua, dan cara ringkas telah menyebabkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran menjadi tidak bermakna. Murid-murid lebih banyak menghafaz rumus, 'petua' dan 'hukum-hukum' yang dicipta oleh guru tanpa mengetahui konsep sebenar. Keadaan ini tentunya akan melahirkan pelajar yang hanya pandai mengira tetapi jahil tentang matematik, dan tidak mampu menyelesaikan masalah harian yang melibatkan matematik ( Nik Azis, 1996; Fatimah, 1996 ).
Maruah dan masa depan pendidikan matematik di Malaysia bergantung sepenuhnya kepada para pendidik matematik itu sendiri. Kecemerlangan pendidikan matematik tidak mungkin berlaku, kecuali guru-guru mempunyai keyakinan penuh terhadap matematik serta perubahan pengajaran dan pembelajarannya (Noraini , 1994). Taraf dan kelulusan akademik yang tinggi tidak mencukupi untuk membentuk suasana pengajaran dan pembelajaran yang baik dan bermakna. Pengajaran matematik yang efektif akan memberi tumpuan kepada tahap pemahaman murid terhadap sesuatu konsep di samping kemahiran mengira dan penyelesaian masalah. Untuk itu para guru harus terlebih dahulu menguasai setiap tajuk dari segi konsep dan isi kandungan sebelum memulakan sesi pengajaran dalam bilik darjah. Kajian-kajian tentang amalan pengajaran para guru amat perlu dilakukan dari masa ke masa supaya masalah dan kekurangan akan dapat dikenalpasti, dan seterusnya jalan penyelesaian dapat dilakukan dengan segera.
BIBLIOGRAFI
Abd. Razak Habib (1994). " Keperluan Dan Masalah Dalam Pendidikan Matematik Dan Sains KBSM Dan Implikasinya Terhadap Kurikulum Pendidikan Guru ". Kertas yang dibentangkan dalam Seminar Jawatan Kuasa Latihan Keguruan Antara Universiti. UKM : Bangi.
Abd. Razak Habib, Abd. Rashid Johar, Abdullah Md. Noor & Puteh Mohd (1996). "Perlaksaan KBSM Dalam Mata Pelajaran Matematik, Sains dan Sains Sosial Di sekolah". Kertas yang dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Penilaian KBSM. KPM: IAB.
Agness Voo (1996). " Kesepaduan Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Matematik KBSM ". Kertas yang dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Penilaian KBSM. KPM: IAB.
Ahmad Moh. Shariff (1996)." Kemahiran Hidup - Satu Penilaian" . Kertas yang dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Penilaian KBSM. IAB: KPM
Amin Senin (1993). Memahami Matematik Pra Sekolah Dan Sekolah Rendah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka.
Amir Salleh (1996). "Ringkasan Laporan Kajian Penilaian KBSM: Survey Sekolah (Fasa II)". Kertas yang dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Penilaian KBSM. IAB : KPM
Aziz Nordin (1990). " Perlaksanaan KBSM Sains & Matematik- Suatu Tinjauan Awal ". Buletin Persatuan Sains Johor. Jil. 2(1): 1 - 12
Bahagian Perancangan & Penyelidikan Dasar Pendidikan (1996). " Kajian Penilaian Perlaksanaan Program KBSM Di Peringkat Menengah Rendah ". Kertas yang dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Penilaian KBSM. IAB : KPM
Bahagian Perancangan & Penyelidikan Dasar Pendidikan (1996). " Kajian Penilaian Perlaksanaan Program KBSM Di Peringkat Menengah Atas ". Kertas yang dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Penilaian KBSM. IAB : KPM
Bali Haji Yusuf (1996). " Bahasa Melayu KBSM: Perlaksanaan Dan Cabaran Sekolah Menengah Di Sabah ". Kertas yang dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Penilaian KBSM. IAB : KPM
Chan Foong Mae (1996). " Metodologi Yang Berkesan Dalam Pengajaran Pendidikan Jasmani Dan Kesihatan ". Kertas yang dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Penilaian KBSM. IAB: KPM
Cockcroft, W. H. (1986). Mathematics Counts. London: HMSO
Davis, G. (1966). "A Note on Two Basic Forms of Concept and Concept Learning ". Journal of Psychology. hlm. 62.
Davis, R. (1986). Conceptual and procedural knowledge in mathematics: A summary analysis. In J. Hiebert (ed.), Conceptual and procedural knowledge: The case of mathematics. Hillsdale, N. J.: Lawrence Erlbaum Associates.
Doyle, W. (1986). Academic work. Review of Educational Research, 53, 159-199
Eisenberg, T. A. (1977). " Teacher Knowledge And Student Achievement in Algebra ". Journal For Research in Mathematics Education. Vol. 8(3) : 216 - 223.
Engen, H. V. (1967). " Mathematical Models For Physical Situations ". The Mathematics Teacher. 578 - 581.
Fatimah Salleh (1996). " Skim Penyelesaian Masalah Bagi Guru Matematik KBSM ". Kertas yang dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Penilaian KBSM. IAB: KPM
Fatimah Salleh & Munirah Ghazali (1995). " Teknologi Pengajaran Dan Pembelajaran Matematik Di Sekolah".Kertas yang dibentangkan dalam Persidangan Kebangsaan Pendidikan Matematik Ke 4. Kuantan: BPG
Ibrahim Md. Noh (1994). " Reformasi Pendidikan Matematik ". Kertas Kerja yang dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Pakar Pendidikan Matematik Rendah. Bangi: BPG
Ibrahim Abu Bakar (1996). " Keberkesanan Perlaksanaan Aliran Agama Di Sekolah Menengah Biasa ". Kertas yang dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Penilaian KBSM. IAB: KPM
Idris Md. Nor (1996). " Kurikulum Geografi Sekolah Menengah Malaysia: Satu Analisis Terkini ". Kertas yang dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Penilaian KBSM. IAB: KPM
Jawiah Dakir & Abd. Aziz Deraman (1996). " Keberkesanan Pendidikan Islam Di Sekolah Menengah Vokasional Di Malaysia ". Kertas yang dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Penilaian KBSM. IAB: KPM
Jemaah Nazir Sekolah (1996). Perlaksanaan Program KBSM Dalam Bilik Darjah. Kertas Kerja yang dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Penilaian KBSM. KPM: IAB.
Mak Sai Mooi (1996). " Mengkaji Kehendak Pelajar Terhadap Kelas Tambahan Matematik ". Kertas yang dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Penilaian KBSM. IAB: KPM
Manoheran (1996). " Persepsi Guru Terhadap Keberkesanan Perlaksaan KBSM Bagi Mata Pelajaran Sains ". Kertas yang dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Penilaian KBSM. IAB: KPM
Mc Bride, C. C. & Rollins, J. H. (1997). " The Effects of History of Mathematics on Attitudes Toward Mathematics of College Algebra Students ". Journal For Research in Mathematics Education. Vol. 8(1) : 57 - 62.
Musak Mantrak (1996). " Pendidik Dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah ". Kertas yang dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Penilaian KBSM. IAB :KPM
Ng Soo Boon (1996). " Penyertaan Pelajar Dalam Aliran Sains Di Sekolah Menengah ". Kertas yang dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Penilaian KBSM. IAB : KPM
NCTM (1980). An Agenda For Action: Recommendations For School Mathematics of The 1980s. New York
NCTM (1989). Curriculum and Evaluation Standards For School Mathematics. New York
Nik Azis Nik Pa (1992). Agenda Tindakan: Penghayatan Matematik KBSR dan KBSM. Kuala Lumpur: DBP
Nik Azis Nik Pa (1996). Perkembangan Profesional: Penghayatan Matematik KBSR dan KBSM. Kuala Lumpur: DBP
Nurul Huda (1996). " Kajian Mengenai Pencapaian Dari Segi Kualiti Mata Pelajaran Kemahiran Hidup ". Kertas yang dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Penilaian KBSM. IAB: KPM
Pumadewi, S. (1996)." Perlaksanaan KBSM, Proses Pengajaran dan Pembelajaran Di Bilik Darjah ". Kertas yang dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Penilaian KBSM. IAB: KPM
Raja Sulaiman Raja Hassan (1996). " Makmal Matematik: Konsep Dan Perlaksanaannya Dalam Matematik KBSM ". Kertas yang dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Penilaian KBSM. KPM: IAB.
Rosnani Hashim (1996)." Keberkesanan Strategi Pengajaran & Pembelajaran Dalam Penyerapan Nilai Murni Dalam KBSM ". Kertas yang dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Penilaian KBSM. IAB : KPM
Saw Kian Swa (1996). " Kelemahan Pelajar Tingkatan Empat Kemanusian Dalam Matematik ". Kertas yang dibentang dalam Seminar Kebangsaan Penilaian KBSM. IAB: KPM
Scott, N. C. (1977). " Inquiry Strategy, Cognitive Style And Mathematics Achievment ". Journal For Research in Mathematics Education. Vol. 8(2) : 132 - 144.
Smith, L. R. (1977). " Aspects of Teacher Discourse and Student Achievement in Mathematics ". Journal For Research in Mathematics Education. Vol. 8(1) : 17 - 21.
Tengku Zawawi Tengku Zainal (1997). Tahap kefahaman konsep pecahan di kalangan guru pelatih KPLI . Kajian Sarjana ( Tidak diterbitkan ).
Thornton, C. D. (1977). " An Evalution of the Mathematics Methods Program Involving The Study of Teaching Characteristics And Pupil Achievement ". Journal For Research in Mathematics Education. Vol. 8(1) : 17 - 21.
Zurida Ismail & Ismail Jusuh (1996). " Hubungan Antara Proses Sains, Kebolehan Berfikir Secara Logik Dan Pencapaian Akademik ". Kertas yang dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Penilaian KBSM. IAB: KPM