Kemahiran Berfikir Kritis Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bestari

Oleh

Dr. Kartini bt. Baharun

Bahagian Pendidikan Guru , KPM

 

Abstrak

Dalam mereka semula sistem pendidikan negara kita yang berkembang pesat dengan ledakan maklumat menjelang abad ke-21, penubuhan sekolah bestari merupakan agenda penting pendidikan pada masa kini untuk menangani pelbagai cabaran di alaf tersebut. Fokus sekolah bestari adalah pada pengajaran dan pembelajaran kemahiran berfikir yang telahpun wujud sejak pelaksanaan KBSR dan KBSM.

Tujuan pembentangan kertas ini adalah untuk memaparkan dapatan kajian yang telah dijalankan berkaitan dengan kemahiran berfikir kritis dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sejarah, untuk meneroka sejauh manakah aspek ini diberikan penekanan oleh guru di dalam bilik darjah. Kajian ini meninjau dari aspek strategi pengajaran dan pembelajaran, organisasi dan interaksi bilik darjah. Ia juga mengkaji dilema yang dihadapi oleh guru untuk menggalakkan pelajar berfikir secara kritis dan juga persepsi guru tentang program pengajaran kemahiran berfikir yang dilaksanakan di sekolah-sekolah.

Data kajian ini diperolehi secara kuantitatif dan kualitatif melalui soal selidik, temu bual dan pemerhatian bilik darjah. Seramai 127 orang guru telah menjawab soal selidik yang di hantar melalui pos, manakala seramai 23 orang guru telah ditemu bual dan pemerhatian bilik darjah juga telah dijalankan ke atas empat orang guru.

Instrumen yang digunakan di dalam kajian ini adalah terdiri daripada soal selidik (Teacher’s Self-Reflection on Teaching Critical Thinking Skills); Soalan Temu Bual Berstrukur (Guided Interview Questions) dan "Event Recording Schedule".

Dapatan kajian menunjukkan daripada 20 strategi pengajaran kemahiran berfikir kritis, hanya tiga sahaja yang kerap digunakan oleh satu pertiga daripada bilangan guru yang terlibat dalam kajian ini dan empat lagi strategi pengajaran jarang digunakan. Terdapat perbezaan yang signifikan dalam tujuh strategi yang digunakan apabila dilihat dari segi pengalaman guru mengajar. Guru yang mempunyai pengalaman mengajar dalam kumpulan antara 4-6 tahun dan 7-9 tahun dilaporkan paling banyak menggunakan 20 strategi berkenaan. Pemerhatian bilik darjah menunjukkan bahawa aktiviti pengajaran yang berpusatkan guru adalah paling ketara, manakala pelajar pula memainkan peranan yang pasif, iaitu lebih banyak mendengar.

Penggunaan strategi pengajaran yang terhad dicerminkan dalam pemerhatian tingkah laku dan ciri-ciri pelajar yang juga terhad berhubung dengan pemikiran kritis.

Berdasarkan data temu bual, beberapa faktor telah dikenal pasti yang dianggap oleh guru sebagai cabaran dan menghalang kepada pengajaran pemikiran kritis. Di antaranya ialah kandungan kurikulum dan peperiksaan yang terlalu padat dan masa yang terhad diperuntukkan kepada mata-mata pelajaran; penekanan kepada keputusan pelajar yang baik; kekurangan bahan pengajaran yang sesuai; beban tugas yang berat termasuklah pengurusan dan ko-kurikulum; banyak masa diperlukan untuk persediaan aktiviti pengajaran kemahiran berfikir kritis; kemampuan pelajar yang terhad dan lemah dari segi kemahiran bahasa dan membaca. Manakala, program latihan yang telah dianjurkan dirasakan oleh guru sebagai kurang mencukupi dan ini menyebabkan guru kurang berkeyakinan tentang teknik dan pendekatan untuk pengajaran kemahiran berfikir kritis.

Cadangan untuk mengatasi dan menggalakan pengajaran dan pembelajaran kemahiran berfikir kritis juga dikemukakan.

  

Kertas kerja ini dibentangkan untuk "Seminar Penyelidikan Pendidikan" di Maktab Perguruan Kuala Terengganu, Batu Rakit, Kuala Terengganu pada 25 Oktober 1998.

 

C- Hak Cipta Terpelihara

Maklumat selanjutnya untuk kajian ini boleh didapati daripada penyelidik di atas: E-mail drkayb@hotmail.com