Undur

Institusi Yang Cemerlang.

Kepada khalayak maktab, saya sering berbicara tentang organisasi pendidikan yang cemerlang sebagaimana yang tercatat dalam wawasan maktab, "Maktab Gemilang Pelajar Cemerlang". Prasyarat untuk kecemerlangan memerlukan warganya menguasai tiga domain berikut:

Pertama: Penguasaan kandungan ilmu pengetahuan, pensyarah sebagai pendidik guru guru, pelajar sebagai bakal guru perlu memperkasakan dirinya dengan ilmu dalam disiplin yang akan diceburi. Domain ini berfokuskan kepada soal apa yang mesti dikuasai atau "content mastery" (What to…). Contohnya seorang pensyarah IT atau bakal guru IT ia mesti menguasai segala ramuan ilmu dalam bidang ini. Demikian jugalah dengan disiplin Pendidikan, Bahasa, Matematik atau Sains - gurunya mesti menguasai dengan penuh yakin tentang kandungan ilmu yang berkaitan.

Kedua: Bagaimanakah kandungan ilmu itu patut disampaikan (delivery system). Fokus domain ini ialah terhadap metode atau pedagogi (How to…). Sebagai seorang pensyarah Bahasa umpamanya, ia mesti peka tentang kemahiran kaedah pengajaran bahasa supaya pelajarnya dapat menerima ilmu yang diajar dengan yang paling mudah.

Ketiga: Domain sikap, ini merupakan tenaga yang membara dalam diri yang mencetuskan daya gerak untuk bertindak. Fokus domain ini ialah terhadap keinginan untuk berbuat, berdaya - daya tahan, daya suai, daya jihad (Want to…). Tanpa keinginan bertindak atau berbuat, maka sebanyak manapun ilmu dan kemahiran yang ada namun ia tinggal sesia. Lihat rajah di bawah:

Menurut Steven Covey, "The 7 Habits of Highly Effective People" (1990), integrasi ketiga-tiga domain ini akan membentuk tabiat (habit) seseorang. Dengan berpaksikan tiga domain ini, ilmu (What to…), kemahiran (How to…) dan sikap yang sesuai (Want to…) Covey selanjutnya menyatakan bahawa tabiat individu yang berkesan ialah individu itu dapat: · Bertindak secara proaktif, tidak mental menanti disuruh atau sindrom "sudah terantuk baru mengenadah". · Bermula dengan sesuatu matlamat dalam pemikirannya, yakni jelas apa yang mahu dibuat atau dicapai - "vision oriented". · Menyusun dan mendahului yang afdal atau aulianya. Ada tertib dalam tindakannya. · Berfikir menang-menang. Tidak hanya berfikir mementingkan diri. Dirinya sahaja yang menang biar orang lain tewas! · Cermat dan teliti mendengar sebelum memberi pendapat. Mempunyai sifat empathy. · Sedia berkongsi lantaran menyedari hakikat bahawa muafakat itu berkat. Kekurangan pada diri boleh ditokoktambah dengan kekuatan yang ada pada diri orang lain, begitu juga diri tidak bakhil untuk berkongsi kelebihannya. · Mengembang potensi dan menyuburkan diri sendiri baik dari aspek fisikal, mental, spiritual mahupun sosial. Prinsipnya ialah pengislahan (reformasi) diri, supaya diri sentiasa menjunjung tinggi akhlak dan idealisme.

Marilah kita mengambil fikir prinsip tabiat dan manifestasi individu yang berkesan seperti yang dikemukakan. Renunglah sejauh manakah kita dapat menyebatikan prinsip di atas dalam kehidupan seharian kita? Sebagai individu yang profesional kita harus berdiri berdasarkan kepada sesuatu prinsip (principle-centered), tidak pula terkapai-kapai, ibarat kiambang ditasik cantik dipermukaan namun akarnya tak jejak ke bumi nasibnya hanyut semahunya bila dibawa arus.

Ketika menyampaikan renungan pagi semasa perhimpunan pelajar, di mimbar Balai Islam semasa tazkirah mahupun semasa mesyuarat staf, saya sering bercakap kepada khalayak di maktab tentang prinsip dalam kehidupan yang menyinggung tentang ilmu, iman dan seni: Pesan Bestari, "dengan ilmu hidup menjadi mudah, dengan iman hidup menjadi terarah, dengan seni hidup menjadi indah". Bersandarkan prinsip ini saya mengajak khalayak maktab membina kecemerlangan institusi. Berdasarkan introspeksi saya, beberapa petunjuk kejayaan terserlah dalam masa setahun ini, khususnya dalam mengimarahkan kegiatan keilmuan di maktab. Saya gembira menyaksikan keghairahan majoriti pensyarah dengan gerakkerja intelektual: menghasilkan penyelidikan, kemeriahan membuat kajian tindakan semasa pensyarah menjalani Program Penempatan Sementara Di Sekolah, penglibatan dalam seminar pendidikan, penulis kertaskerja Wacana Pendidikan Bestari, mendokumentasikan karya kreatif dan akademik, penerbitan Jurnal Akademik, Buletin Rakit, penerbitan dan risalah jabatan, antologi puisi "Rakit Pengalaman", diskusi buku, tazkirah, kemeriahan dalam komitmen sebagai konsultan dalam Program CPD (Continuing Professional Development) dengan pendidikan luar maktab, pensyarah sebagai rakan kongsi ilmu kepada rakan sepejuangan di sekolah, pembinaan dan pengisian homepage maktab, malah ada yang muncul sebagai pakar motivasi kepada pasukan bola sepak profesional Negeri Terengganu (tidak keterlaluan jika dikatakan mempunyai saham dalam penobatan pasukan Terengganu sebagai naib johan Piala Malaysia!). Ini adalah diantara yang terakam, banyak lagi yang terlepas pandang daripada introspeksi saya.